Selangorkini
Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia. Foto Facebook BAM
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia diberi lampu hijau jadi pemain profesional

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria telah memberikan lampu hijau kepada pemain perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia untuk beraksi sebagai pemain profesional.

“Confirmed (Sah),” kata Mohamad Norza dalam maklum balas ringkasnya kepada Bernama ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan mengenai hantaran Zii Jia dalam Facebooknya hari ini.

Ini setelah Zii Jia menyatakan bahawa Mohamad Norza telah “merestui” hasratnya untuk menjadi pemain profesional selepas perjumpaan daripada hati ke hati antara Mohamad Norza dengan beliau bersama ibu bapanya.

“Saya gembira kami sudah menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas menerima ‘restu’ Tan Sri untuk saya menjadi pemain profesional.

“Pencapaian saya di masa lalu dan akan datang akan sentiasa merupakan hasil usaha Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia. Saya sentiasa berterima kasih dengan bimbingan dan jagaan Tan Sri dan memberikan saya peluang untuk berkhidmat kepada negara yang saya cintai,” kata Zii Jia.

Oleh itu, pemain nombor tujuh dunia itu berkata beliau akan kembali beraksi dengan menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia ​​​​​(BATC) 2022 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Selangor dari 15 hingga 20 Februari ini.

Pada masa sama, anak kelahiran Kedah menggesa setiap orang supaya terus menyokong BAM dan pemain profesional negara, yang bakat mereka juga digilap oleh BAM.

Sementara itu, Zii Jia dalam satu sidang media hari ini enggan mengulas laporan berita bahawa beliau menolak satu tawaran RM1 juta yang ditawarkan BAM dalam usaha untuk mengekalkan beliau dalam kemnya.

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos berkata kedua-dua pihak berpuas hati dengan hasil mesyuarat, yang diadakan bagi membincangkan rayuan daripada pemain nombor tujuh dunia terhadap keputusan BAM menggantung beliau daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa kerana meletakkan jawatan daripada BAM.

Jumaat lepas, Jahaberdeen mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa dari 18 Januari.

Ini berikutan keputusan pemain berusia 23 tahun itu menyerahkan surat peletakan jawatan daripada mewakili BAM pada 11 Januari untuk menjadi pemain profesional dengan alasan beliau tidak dapat menahan tekanan dan gaya hidup dengan disiplin yang ketat dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Bagaimanapun, BAM mengesahkan semalam bahawa Zii Jia telah menghantar surat rayuan terhadap keputusan badan sukan itu dan berjanji untuk mencari penyelesaian terbaik dengan segera.

– BERNAMA


Pengarang :