Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad meninjau gerai jualan ketika program jualan perihatin rakyat DUN Sungai Tua di Taman Gombak Permai, Gombak pada 12 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Jualan murah ringan beban rakyat depani kenaikan harga barang

GOMBAK, 13 MAC: Program Jualan Prihatin Rakyat memberi peluang kepada penduduk menikmati pembelian barang keperluan dengan harga lebih murah daripada pasaran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata biarpun beberapa barang keperluan yang dijual lebih murah, kualiti barang tetap sama dalam pasaran lain.

“Program ini adalah usaha dalam mengurangkan kesan peningkatan harga barang dengan menjual keperluan seperti ayam, telur dan beberapa lain dengan harga mampu milik.

“Menerusi program ini kita dapat memberi peluang kepada penduduk menikmati harga yang jauh lebih murah daripada pasaran. Bukan sahaja murah tetapi kualiti juga tidak terjejas,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika ditemui pada program Jualan Prihatin Rakyat di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu juga memaklumkan program jualan berkenaan merupakan lokaliti ke lapan diadakan sejak dilancar pada 28 Februari lalu.

Program Jualan Prihatin Rakyat diadakan di 64 kawasan seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang dan inisiatif ini dianjurkan sehingga Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B turut disasar untuk dijual sepanjang program berkenaan.


Pengarang :