Jemaah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) di ruang solat ketika tinjauan di Masjid Negeri, Shah Alam pada 15 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Pakai pelitup muka, bawa sejadah ketika kunjungi masjid, surau sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 30 MAC: Umat Islam diingatkan kekal memakai pelitup muka ketika mengunjungi surau atau masjid sepanjang Ramadan ini meskipun negara bakal beralih ke fasa endemik.

Dato’ Menteri Besar berkata mereka juga perlu membawa sejadah sendiri dan memastikan diri tidak bergejala bagi mengekang penularan Covid-19.

“Sudah pasti ramai dalam kalangan kita merindui saat-saat menyambut Ramadhan sebelum pandemik.

“Alhamdulillah sekarang ini kita berada di fasa endemik di mana umat Islam dibenarkan menunaikan solat terawih berjemaah dan mengimarahkan masjid, surau dan musolla.

“Tetapi suka untuk saya mengingatkan agar kita tetap memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri dan pastikan tidak bergejala,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi perutusan Ramadan tahun ini.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya tidak mengamalkan pembaziran dengan berbelanja berlebihan dan sengaja membuang makanan.

“Diharapkan umat Islam bukan sahaja dapat merapatkan saf secara fizikal, malahan hati turut disatukan dalam kerahmatan dan penuh ketenangan serta menjauhi pergolakan,” katanya.

Pada 8 Mac lalu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara memasuki fasa peralihan endemik bermula Jumaat ini.

Keputusan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko dan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Pengarang :