(Dari kiri) Graduan ijazah sarjana Bahasa Melayu dan Komunikasi, Hussain Said (berkerusi roda) dan Doktor Perubatan Veterinar, Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (OKU pendengaran) bergambar bersama selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Kali Ke-45 di Serdang hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

OKU pendengaran pilih bidang veterinar atasi kekurangan diri

SERDANG, 19 MAC: Meskipun mempunyai masalah pendengaran, kekurangan itulah yang menjadikan Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, graduan doktor perubatan veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), lebih gemar berkomunikasi dan memahami haiwan.

Anak kelahiran Kuala Lumpur dengan masalah pendengaran separa normal itu kini bertugas sebagai doktor veterinar di sebuah klinik di Shah Alam dan antara penerima ijazah sempena Istiadat Konvokesyen UPM Kali Ke-45 di sini hari ini.

“Disebabkan kekurangan saya, saya lebih suka berkomunikasi dengan haiwan berbanding manusia. Sebab kalau manusia perlukan percakapan manakala haiwan memadai dengan menyaksikan tingkah laku mereka. Saya selesa dengan haiwan,” katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen itu.

Dr Abdul Aziz, 25, berkata beliau didiagnos mempunyai masalah pendengaran agak lewat iaitu ketika darjah satu dan menggunakan alat bantuan pendengaran pada usia tujuh tahun.

Beliau berkata arwah ibunya adalah individu yang paling banyak menyokong cita-citanya untuk menjadi doktor veterinar, ketika terdapat orang sekeliling yang mempertikaikan impiannya selain bidang veterinar masih belum dikenali ramai ketika itu.

“Kini tugas saya di klinik meliputi pemandulan dan pembedahan tisu lembut haiwan. Cita-cita saya pula adalah menjadi pakar bedah veterinar,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada majikannya yang sudi mengambilnya untuk bekerja biarpun tahu mengenai kekurangannya.

Dr Abdul Aziz turut menitipkan nasihat kepada golongan orang kurang upaya (OKU) agar tidak melihat kekurangan diri sebagai halangan untuk berjaya dalam hidup kerana semua orang berhak dan layak untuk memajukan diri masing-masing dengan usaha berterusan serta sokongan positif.

Graduan OKU berkerusi roda iaitu Hussain Said, 27, pula berjaya menamatkan pengajiannya dalam ijazah sarjana Bahasa Melayu setelah menamatkan pengajian dalam kursus ijazah sarjana muda Sastera, Bahasa dan Linguistik Melayu di UPM, hasil dorongan padu ibu bapanya yang mahu beliau belajar ke peringkat lebih tinggi.

Ditanya sebab memilih bidang pengajian bersandarkan Bahasa Melayu, Hussain yang bekerja sebagai juruwang di Tanjung Karang, Selangor, berkata beliau mahu mengubah mentaliti masyarakat dalam memartabatkan Bahasa Melayu.

“Kita lihat ada banyak penggunaaan bahasa rojak, macam mana kita nak betulkan mentaliti masyarakat khususnya generasi muda untuk menggunakan Bahasa Melayu dengan betul. Itulah yang menyebabkan saya tertarik dengan bidang ini,” katanya.

Istiadat konvokesyen UPM yang bermula hari ini sehingga 24 Mac melibatkan 6,142 graduan merangkumi 484 penerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (1,611), ijazah sarjana muda (3,564) dan diploma (483).

– BERNAMA


Pengarang :