Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) melawat rumah contoh ketika Majlis Pelancaran Pangsapuri Bayu Residensi di Taman Sri Gombak, Gombak pada 19 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB lancar 1,660 unit rumah mampu milik di Batu Caves

GOMBAK, 19 MAC: Kerajaan Selangor melancarkan 1,660 unit rumah mampu milik menerusi dua projek di Batu Caves bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana membeli kediaman.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata binaan meliputi 1,240 unit Pangsapuri Bayu Residensi @ Seri Temenggung yang dijual pada harga bermula dari RM225,000.

Manakala baki membabitkan Rumah Selangorku @ Seri Temenggung yang dijual serendah RM65,000.

“Kita yakin lokasi yang amat strategik dengan pelbagai kemudahan awam dan rangkaian jalan raya utama seperti Lebuh Utama Seri Gombak, MRR2 dan Duke menjadi daya penarik pembeli,” katanya.

Bercakap dalam sidang media hari ini, beliau berkata binaan Pangsapuri Bayu Residensi mencapai 35 peratus kemajuan sementara Rumah Selangorku di sebelahnya hampir 100 peratus siap.

Kakitangan Kumpulan Syarikat Melati Ehsan memberi penerangan kepada orang ramai yang hadir sambil menunujukkan contoh replika pangsapuri selepas Majlis Pelancaran Pangsapuri Bayu Residensi di Taman Sri Gombak, Gombak pada 19 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 29 keluarga yang juga penghuni asal setinggan di kawasan terbabit menerima Rumah Selangorku dengan tawaran harga RM65,000.

“Hasil perbincangan menang-menang antara Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor selaku pemilik tanah dan pemaju Kumpulan Syarikat Melati Ehsan, akhirnya projek ini hampir sempurna,” katanya lagi.

Projek Rumah Selangorku @ Seri Temenggung berkeluasan 900 kaki persegi sementara Pangsapuri Bayu Residensi dijual dengan keluasan antara hingga 659 hingga 862 kaki persegi.

Pada 27 Jun 2020, seramai 29 peneroka asal Kampung Seri Temenggung menerima surat tawaran milikan dengan tawaran harga lebih murah berbanding nilai asal mencecah RM200,000 seunit.


Pengarang :