Mohd Farid Abdul Ghani melayan pengunjung yang membeli produk krepek lobak merah dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 5 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pempamer manfaatkan persidangan halal, peluang tembus pasaran global

SHAH ALAM, 6 MAC: Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) dimanfaatkan sebuah syarikat pengeluar peralatan asli berasaskan kosmetik untuk mendedahkan strategi penghasilan produk jenama sendiri.

Ketua pegawai eksekutif Ensu Lifesciences Sdn Bhd berkata khidmat nasihat secara percuma turut ditawarkan kepada usahawan yang mahu menambah baik mutu dan kualiti produk kecantikan serta kesihatan.

Menurut Nur Firzana Suhana@Husin, 29, pengunjung pula berpeluang mendapatkan pelbagai produk keluaran syarikat yang bertapak di Kota Puteri, Rawang itu antaranya penjagaan kulit, rambut, badan, minyak wangi dan minyak aroma terapi.


Ketua Pegawai Eksekutif Ensu Lifesciences Sdn Bhd Nur Firzana Suhana @ Husin (kiri) dan adiknya Pengurus Perolehan Nur Faizureen bergambar bersama kakitangannya dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 5 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Mungkin ada usahawan di luar sana masih tercari-cari kilang mana sepatutnya mereka pergi untuk hasilkan produk jenama sendiri yang berkualiti tinggi selain melalui kajian klinikal.

“Jadi mereka boleh datang ke Selhac atau menghubungi pegawai kami untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan kos sewa empat tapak pameran berjumlah RM11,000 di persidangan tersebut amat berbaloi selepas hampir dua tahun tahun tidak menyertai sebarang acara promosi secara fizikal.

Bagi pegawai jualan bertih jagung Ira Nazira Mohd Lizam, 29, Selhac menjadi medium terbaik untuk memperkenalkan produk jenama Bell Popcorn yang berada di pasaran tempatan sejak dua tahun lepas.

Pengasas Bell Popcorn Firzah Puasa (kanan) dan pegawai pemasaran Ira Nazira Mohd Lizam menunjukkan produk keluaran syarikat mereka dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 5 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, ruang itu tidak akan disia-siakan selaras dengan matlamat memasarkan snek tersebut ke 1,000 outlet dalam negara selain menembusi pasaran global dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kami harus guna peluang ini sebaiknya untuk promosi bertih jagung jenama Bell Popcorn kepada rakyat tempatan. Kami juga dalam proses menambah baik pembungkusan supaya kelihatan lebih menarik,” katanya.

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Selhac berlangsung dari Jumaat hingga Ahad mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Selhac membabitkan kluster makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

LANGORKINI
Pengunjung membeli produk keluaran SUSHIGENG dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 5 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :