Antara peserta yang hadir pada program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 di Dewan Beringin, Gombak pada 19 Mac 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Usahawan IKS perlu rebut peluang niaga secara digital

GOMBAK, 19 MAC: Penggiat industri kecil dan sederhana di negeri ini digesa merebut peluang yang disediakan menerusi Jelajah Usahawan Digital Selangor sepanjang tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata sejak diperkenalkan awal tahun 2020, program jelajah itu mendapat sambutan menggalakkan dan berjaya menarik 670 penyertaan.

“Kita harap tahun ini lebih ramai individu menyertai Jelajah Usahawan Digital Selangor yang bakal berkunjung ke semua daerah sehingga September ini.

“Usahawan perlu mengambil langkah pertama dengan mendigitalkan perniagaan mereka selaras dengan hasrat Selangor untuk menjadi sebuah negeri pintar dan boleh huni menjelang 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan, program anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) adalah instrumen penting bagi membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih mudah dan pantas.

Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 siri satu di Gombak hari ini turut mendapat penyertaan sembilan rakan kerja iaitu PG Mall, EasyStore, Dropee, Lazada, J&T, Yayasan Hijrah Selangor, SELDEC, SSM dan Shopee.

Sidec juga giat merealisasikan beberapa inisiatif utama seperti program Kelas E-Dagang, Kempen E-Bazar, Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor dan Selangor Accelerator Programme.


Pengarang :