Skuad Ragbi Wanita Selangor mempamerkan teknik hantaran bola sebagai latihan persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 7 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASUKANKINI

Acara dipertanding dalam SUKMA 2022 diumum selepas Aidilfitri

SHAH ALAM, 21 APRIL: Jenis acara yang akan dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 diumum selepas Aidilfitri, menurut pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Mohamad Nizam Marjugi berkata belum ada keputusan rasmi berhubung perkara tersebut meskipun ia sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sukma baru-baru ini.

“Buat masa ini, Majlis Sukan Negara belum menentukan acara yang akan dipertandingkan memandangkan ada diantaranya yang tidak cukup penyertaan dari negeri-negeri lain.

“Sesuatu acara hanya boleh dipertandingkan jika terdapat penyertaan dari lapan negeri. Jadi kita belum dapat memutuskan mengenai acara yang akan disertai, namun kebiasaanya Selangor akan sertai semua,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata seramai 800 atlet negeri dijangka menyertai temasya yang dijadual berlangsung dari 29 September hingga 8 Oktober depan di sekitar Lembah Klang.

Penganjuran edisi yang dikenali ‘SUKMA XX, MSN 2022’ disokong dan diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari lepas bagi meneruskan pembangunan sukan di peringkat negeri.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma turut bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur yang dipersetujui sebelumnya.

Sementara itu, Mohamad Nizam memaklumkan atlet SUKMA diberi cuti Aidilfitri selama seminggu bermula 29 April ini sebelum kembali meneruskan latihan.

Jelasnya, atlet tidak boleh berehat terlalu lama sebaliknya perlu berada pada tahap terbaik bagi menghadapi saingan dalam beberapa kejohanan penting sebelum ke temasya Sukma.

“Kita harap atlet negeri tidak mengabaikan tanggungjawab mereka walaupun pada musim perayaan. Kita juga akan buat ujian kecergasan secara berkala terhadap mereka,” katanya.


Pengarang :