Hee Loy Sian mengedarkan bubur lambuk, kuih dan kurma kepada pengunjung serta peniaga di Bazar Ramadhan TTDI Grove, Kajang pada 15 April 2022. Foto Facebook Hee Loy Sian
ADNAGENDABERITA UTAMASELANGOR

Dana hampir RM60,000 untuk program imarah masjid, surau di Kajang

SHAH ALAM, 18 APRIL: Hampir RM60,000 sumbangan disalurkan kepada masjid dan surau di sekitar Dewan Undangan Negeri Kajang bagi menjayakan program pengimarahan sepanjang Ramadan ini.

Wakil rakyat Hee Loy Sian berkata jumlah itu merangkumi agihan kepada tiga masjid iaitu sebanyak RM9,000 manakala RM50,000 untuk 25 surau.

Jelasnya sebanyak 800 baucar Jom Shopping sempena Aidilfitri turut diagih kepada golongan memerlukan terutama keluarga berpendapatan rendah.

“Kami menerima peruntukan bagi 650 baucar dari Kerajaan Negeri namun ia tidak mencukupi. Jadi pusat khidmat tambah lagi 150 baucar menjadikan jumlah keseluruhan 800.

“Proses agihan sudah selesai dan penerima boleh menebus baucar di Pasaraya Econsave Jalan Reko untuk membeli keperluan menyambut Syawal,” katanya kepada Selangorkini.

Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM3.34 juta tahun ini untuk agihan baucar beli-belah sempena Aidilfitri yang memberi manfaat kepada 33,400 ketua isi rumah B40.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan kurang mampu sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.


Pengarang :