Aksi beberapa peserta Klinik Asas Bola Sepak di Stadium MBPJ pada 16 Januari 2022. Foto Team Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Liga Akar Umbi bermula Julai, tumpu lima jenis sukan

SHAH ALAM, 3 APRIL: Liga Akar Umbi di Selangor dijangka bermula pada Julai depan secara sirkit dengan menyasarkan pelajar sekolah rendah dan menengah berusia bawah 15 tahun.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata lima jenis sukan akan terlibat dalam liga berkenaan termasuk sepak takraw, badminton, bola keranjang, bola tampar dan bola jaring.

Menurut Mohamad Nizam Marjugi, penyertaan pelajar dalam liga terbabit dibuka melalui Majlis Sukan Daerah selepas kerajaan membenarkan aktiviti sukan dijalankan di sekolah.

“Bila kita sebut liga akar umbi, ia melibatkan banyak pelajar sekolah. Jadi kita juga perlu bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.

“Insya-Allah kita akan anjur mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang baharu mengikut kemampuan kita. Liga ini mungkin berlangsung secara sirkit bermula Julai diikuti September dan Disember,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata pihaknya juga akan memastikan fasiliti sukan sedia ada pada tahap terbaik supaya program berkenaan berjalan lancar seperti dijadual.

“Berbaki beberapa bulan lagi sebelum penganjuran, kita akan buat persiapan sebaiknya apatah lagi liga ini masih baharu diperkenalkan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntukan sejumlah RM1 juta bagi Liga Akar Umbi yang bakal merancakkan pembangunan sukan dalam kalangan belia di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri cakna dengan perkembangan liga amatur di semua daerah seluruh Selangor.


Pengarang :