Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Mohd Hasry Nor Mohd (enam kiri) selepas merasmikan pusat pengeluaran kompos pertama milik MPHS di Bukit Beruntung pada 14 April 2022. Foto Facebook MPHS
PBTSELANGOR

MPHS: Pusat kompos bantu selenggara sisa landskap, jana pendapatan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mewujudkan pusat pengeluaran kompos bagi menyelenggara sisa buangan landskap di kawasan seliaannya.

Pusat pengeluaran kompos pertama milik MPHS itu ditempatkan di Bukit Beruntung dan ia dirasmikan pada 14 April lalu oleh Yang Dipertua MPHS Mohd Hasry Nor Mohd.

Menurut Mohd Hasry, MPHS menyelenggara kira-kira 450 tan pokok teduhan sebulan, manakala sisa pemotongan rumput hampir 109 tan setiap bulan.

“Kesemua sisa penyelenggaraan pokok dan pemotongan rumput ini dihantar ke pusat pelupusan Sungai Sabai.

“Namun, kaedah konvensional ini tidak selaras dengan dasar MPHS ke arah perbandaran bestari melalui tadbir urus yang cekap dan efisien,” katanya di Facebook MPHS.

Beliau berkata pusat pengeluaran kompos itu akan memastikan tiada sisa penyelenggaraan landskap dihantar ke tapak pelupusan dan ia akan diproses kepada serpihan sebelum terurai sebagai kompos.

“Semoga kewujudan pusat pengeluaran kompos ini akan meningkatkan nilai tambah bagi membudayakan landskap di peringkat daerah.

“Pada masa sama, hasil kompos ini akan menjadi salah satu sumber pendapatan MPHS,” katanya.


Pengarang :