Penumpang pesawat Singapore Airlines SQ108 dari Singapura lengkap pakaian pelindung diri menunggu giliran untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) udara pada 29 November 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ujian pengesanan Covid-19 bagi pengembara ke Malaysia digugurkan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Ujian pengesanan Covid-19 bagi pengembara warganegara dan bukan warganegara sebelum berlepas dan semasa tiba di Malaysia digugurkan berkuat kuasa 1 Mei.

Menteri kesihatan berkata ia membabitkan pengembara berusia 13 tahun ke atas yang lengkap vaksinasi selain mempunyai sejarah jangkitan wabak dalam tempoh enam hingga 60 hari dari tarikh sembuh sebelum berlepas ke negara ini.

Menurut Khairy Jamaluddin, pemansuhan turut membabitkan pengembara berusia 12 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.

“Bagaimanapun, pengembara dengan status vaksinasi tidak lengkap atau belum menerima vaksin perlu melakukan ujian pantas polimeras masa nyata (RT-PCR) atau ujian pantas antigen (RTK-Ag) profesional dua hari sebelum berlepas.

“Pengembara juga perlu menjalani ujian pengesanan dalam tempoh 24 jam selepas tiba menggunakan RTK-Ag dengan seliaan pengamal perubatan swasta sama ada secara fizikal atau maya,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menambah pengembara harus menjalani kuarantin wajib selama lima hari di tempat penginapan termasuk rumah selain melakukan RT-PCR pada hari keempat atau RTK-Ag professional pada hari kelima.

“Pengembara dikesan bergejala di pintu masuk antarabangsa negara akan diarah menjalani RTK-Ag profesional,” katanya sambil memaklumkan polisi sama terpakai bagi semua kategori pengembara termasuk umrah, haji dan pekerja asing.

 


Pengarang :