ADN Rawang Chua Wei Kiat (kanan) bersama wakil dan kakitangan MARA Liner mengadakan ujian perkhidmatan bas dari Terminal Bas Rawang ke Lebuh Pudu Kuala Lumpur pada 25 Mei 2022. Foto Facebook Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

ADN Rawang bantu pulihkan khidmat bas di empat laluan utama

SHAH ALAM, 27 MEI: Perkhidmatan bas dari Rawang ke Kuala Lumpur membabitkan empat laluan utama berjaya dipulihkan kelmarin hasil kerjasama dengan syarikat MARA Liner Sdn Bhd.

Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berkata laluan itu membabitkan Lebuh Pudu Kuala Lumpur-Rawang dan Lebuh Pudu Kuala Lumpur-Bandar Tasik Puteri melalui Bandar Country Homes.

Menurutnya, laluan lain ialah Lebuh Pudu Kuala Lumpur-Selayang Baru dan Lebuh Pudu Kuala Lumpur-Bukit Idaman Selayang.

“Hari ini (kelmarin) saya bersama dengan wakil dan staf MARA Liner telah mengadakan ujian untuk perkhidmatan bas dari Terminal Bas Rawang,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan syarikat terbabit bagi memulihkan perkhidmatan 12 bas pada 1 Jun ini.

“Kita juga kaji dan memulihkan perkhidmatan bas untuk kawasan perumahan yang merupakan laluan tumpuan orang ramai,” katanya lagi.

Terdahulu, Wei Kiat menerima aduan berkait perkhidmatan bas yang berhenti secara mengejut sehingga mengakibatkan penumpang tidak dapat ke sekolah atau bekerja.


Pengarang :