Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

Empat suspek seleweng lebih 8,300 liter diesel subsidi didakwa di mahkamah

SHAH ALAM, 21 MEI: Tindakan empat lelaki termasuk dua warga asing yang menyeleweng 8,355 liter diesel bersubsidi akhirnya memakan diri apabila dihadapkan ke mahkamah semalam.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata lelaki berusia antara 25 hingga 40 tahun itu dicekup di sebuah premis di Jenjarom, Kuala Langat.

Selain itu, Azman Adam berkata pihaknya turut menemui dua lori yang sedang melakukan aktiviti pemunggahan minyak diesel di kawasan tersebut pada Selasa lalu.

“Kita berjaya memberkas dua lelaki warga Bangladesh dipercayai pekerja atau penjaga premis, selain menahan dua lelaki warga tempatan disyaki pemandu lori bagi membantu siasatan.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM198,330 termasuk minyak diesel dan beberapa peralatan serta dokumen. Kes ini sudah dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang untuk pertuduhan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Azman berkata dua lelaki warga tempatan tidak mengaku bersalah dan dilepaskan dengan jaminan RM5,000 setiap seorang.

“Manakala, dua lelaki warga asing ditahan kerana tidak dapat mengemukakan dokumen pengenalan diri,” katanya.


Pengarang :