Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2022 di Ibu Pejabat MBSJ, Subang Jaya pada 13 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDAPBTSELANGOR

Lebaran 2022 lebih bermakna, rai bersama keluarga tersayang

SUBANG JAYA, 14 MEI: Lebaran 2022 cukup bermakna bagi kakitangan agensi negeri ini apabila berpeluang meraikannya bersama keluarga tersayang di kampung halaman selepas dua tahun beraya di perantauan.

Selain berkumpul dan bermaafan antara satu sama lain, rata-rata mereka mengakui puas kerana akhirnya dapat melepas kerinduan untuk menikmati juadah istimewa raya di desa tercinta.

Kakitangan Platform Selangor (Plats) Azizul Hussin Zainal Abidin, 38, berkata beliau bersyukur apabila dapat bertemu ibu bapa dan lima beradik yang lain di Ipoh, Perak meskipun Syawal disambut dalam keadaan sedikit kalut.

Azizul Hussin Zainal Abidin

Menurutnya, sebelum ini mereka sekeluarga sekadar berjumpa di platform Google Meet pada pagi raya berikutan sekatan pergerakan pada waktu itu akibat Covid-19.

“Saya pulang ke Ipoh dua hari sebelum raya tetapi agak kelam kabut juga sebab pengumuman raya mengejut

“Namun ia tetap meriah sebab semua adik-beradik balik ke sana. Satu benda paling dirindui ialah bersalam dengan ibu ayah selain memasak Rendang Tok bersama-sama pada malam raya,” katanya ditemui pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di sini semalam.

Najwa Ashiqen Abd Rahman, 28, juga mengakui seronok kerana dapat meraikan 1 Syawal di kampung datuknya dekat Batu Pahat, Johor bersama saudara-mara yang lain.

Bagaimanapun, di sebalik keterujaan menyambut perayaan itu, beliau berkata aspek keselamatan tetap diutamakan dengan memastikan setiap ahli keluarga dan tetamu menjalani ujian pantas antigen (RTK).

“Gembira sangat sebab ramai yang datang ke rumah atuk pada waktu itu dan makan sama-sama,” katanya yang sudah hampir dua tahun berkhidmat di Plats.

Kakitangan MBSJ, Nur Izzati Zaid, 21, pula tetap pulang beraya di Kluang, Johor dan meraikannya secara sederhana kerana masih terkesan dengan pemergian arwah datuk dan nenek serta bapanya beberapa tahun lalu.

Nur Izzati Zaid

“Rasa sedih masih ada sebab mereka sudah meninggal, lagipun dua tahun kebelakangan tidak beraya di sana. Rindu masakan nenek yang sedap-sedap,” katanya yang bertugas di Jabatan Kejuruteraan.

Seorang lagi kakitangan MBSJ Nur Dya Batriesha Amran, 21, berkata Aidilfitri disambut meriah apabila berkesempatan bertemu keluarga dan kawan-kawan di Muar, Johor selain menerima banyak undangan rumah terbuka.

“Dua tahun sebelum ini tatacara operasi piawai (SOP) sangat ketat tetapi sekarang semakin longgar. Saya gembira dapat raikan bersama mereka, tetapi pada masa sama tetap kena jaga diri,” katanya yang berkhidmat di Jabatan Pesuruhjaya Bangunan.


Pengarang :