Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Dato’ Teng Chang Khim melawat pameran Seni Gandhara ketika sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Kuala Langat pada 14 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Pembangunan seimbang ekonomi, kebudayaan, keagamaan jadi tarikan Selangor

KUALA LANGAT, 15 MEI: Pembangunan di Selangor terus seimbang dan merangkumi semua aspek biarpun rancak dengan pelbagai kegiatan pelaburan.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan pelbagai program melibatkan kesihatan, kebudayaan dan keagamaan turut dianjurkan bagi membantu masyarakat.

“Ini adalah aspek keseimbangan yang ingin diwujudkan dalam negeri ini kerana walaupun aktif dengan usaha pelaburan dan pembangunan ekonomi kita terus meneroka pelbagai platform seperti e-dagang untuk membantu masyarakat keluar daripada bebanan hidup.

“Kita juga melebarkan program seperti Saringan Sihat Selangor dan melaksanakan program kebajikan kepada institusi agama dan kebudayaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap dalam majlis perasmian sambutan Hari Wesak peringkat negeri di Tokong Fo Guang Shan Dong Zen, Jalan Sungai Buaya Jenjarom di sini semalam.

Jelas Amirudin, Selangor juga masih mengekalkan subsektor selain memperkenalkan sektor baharu seperti e-dagang, pembangunan industri rel dan aeroangkasa.

“Malah, saya berbangga apabila aspek kebudayaan dan keagamaan turut menjadi tarikan di Selangor.

“Contohnya tarikan utama penting di Selangor bukan hanya kemajuan pembangunan ekonomi dan infrastruktur tetapi tiga aset berkaitan kebudayaan serta keagamaan iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz atau masjid biru, Batu Caves dan Tokong Fo Guang Shan Dong Zen,” katanya.


Pengarang :