Orang ramai yang menghadiri majlis Jalinan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 19 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri guna kaedah baharu pengeluaran makanan haiwan ternakan

SHAH ALAM, 20 MEI: Kerajaan Negeri akan melaksanakan kaedah terbaharu berhubung pengeluaran makanan alternatif haiwan ternakan khususnya ayam, kata EXCO Pertanian.

Ir Izham Hashim memaklumkan kaedah yang akan diperincikan dalam masa terdekat itu mampu membantu dalam mengurangkan kenaikan harga makanan ayam yang dilihat semakin kritikal.

“Penyelidikan kaedah ini dilakukan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dua tahun lalu dan sudah mula dilaksanakan di Kedah. Selangor bakal menggunakan kaedah ini dalam masa terdekat.

“Dengan kerjasama ini kita yakin dapat mengurangkan kos pengeluaran makanan ayam kepada 70 sen berbanding RM1.70 pada masa ini. Ini perubahan yang kita akan lakukan bukan sahaja bagi ternakan ayam tetapi haiwan ruminan iaitu lembu dan kambing,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Jalinan Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam.

Mengulas mengenai bekalan ayam di negeri ini, Izham memaklumkan rakyat Selangor tidak perlu khuatir berhubung perkara tersebut.

“Bekalan ayam masih ada dan tidak perlu bimbang. Jika kekurangan bekalan kita akan cari kaedah lain bagi memastikan bekalan tidak terputus.

“Kerisauan kita bukan pada isu bekalan ayam tetapi kenaikan harga makanan ternakan. Sebab itu, permulaan kita bekerjasama dengan Negeri Sembilan dalam tanaman jagung bijirin,” katanya.


Pengarang :