Kakitangan Air Selangor melakukan pensampelan bagi memastikan air terawat yang bersih dan selamat dapat diagihkan kepada pengguna. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Pencemaran berjaya diatasi, bekalan air diagih semula malam ini

SHAH ALAM, 3 MEI: Dua loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas susulan pencemaran bau beroperasi semula 3.30 petang tadi setelah tiga bacaan 0 ton dicatatkan.

Berikutan itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bekalan air di 472 kawasan terjejas akan disalurkan secara berperingkat mulai malam ini.

Menurutny, pencemaran terbabit adalah kejadian ketiga yang berlaku di tempat sama dalam minggu ini.

“Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bertungkus-lumus menyelesaikan isu pencemaran secepat mungkin agar gangguan dapat ditamatkan.

“Saya memahami kekecewaan yang dialami penduduk terkesan kerana ini kejadian ketiga minggu ini. Namun tindakan harus diambil bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pengguna,” katanya di Facebook.

LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi dihenti tugas sementara pagi tadi berikutan pencemaran bau dikesan di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Susulan itu, sebanyak 472 kawasan di lima wilayah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual mulai 3 petang, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Wilayah terlibat ialah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan).


Pengarang :