Penguat kuasa KPDNHEP Selangor membuat pemeriksaan menerusi Ops Pantau serta pemeriksaan Skim Harga Maksimum Hari Raya Puasa 2022 di pasar awam Fama Selayang Baru pada 5 Mei 2022. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Peniaga patuhi arahan, tiada kenaikan harga barang keperluan asas di Selangor

SHAH ALAM, 11 MEI: Harga barang keperluan asas di Selangor dilaporkan masih terkawal, maklum EXCO hal ehwal pengguna.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata ia berdasarkan pemantauan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor di empat premis setakat hari ini.

Menurutnya, pemantauan dibuat di Pasar Seksyen 6, Shah Alam; Pasar Seksyen 16 Shah Alam; Pasar SS15 Subang Jaya dan Pasar Meru, Klang.

“Alhamdulillah berdasarkan pemerhatian dan hasil siasatan pihak KPDNHEP Selangor, rata-rata peniaga masih mematuhi arahan dengan tidak menaikkan harga barang sesuka hati.

“Namun, adalah diingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Mengulas sama ada terdapat aduan daripada orang awam, Mohd Zawawi berkata setakat ini tiada sebarang laporan diterima berhubung kenaikan harga barangan asas.

“Sekiranya ada dalam kalangan pengguna mahu membuat aduan mereka boleh terus berhubung dengan pihak KPDNHEP,” katanya lagi.

Pengguna juga boleh membuat aduan dengan mengemukakan maklumat lengkap berhubung salah laku peniaga di sekitar Selangor menerusi saluran aduan rasmi berikut :

  • WhatsApp 019-279 4317
  • Portal e-aduan.kpdnhep.gov.my
  • Call Centre 1-800-886-800
  • Emel [email protected]
  • Ez ADU KPDNHEP
  • Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor 03-5514 4393/ 5518 1810/ 5512 5485

Pengarang :