Anggota polis membantu penumpang dari ketibaan antarabangsa untuk membuat pemeriksaan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 September 2021. FOTO BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor destinasi pilihan pelancong China lima tahun berturut-turut

SHAH ALAM, 4 MEI: Selangor menjadi destinasi paling digemari pelancong China untuk tempoh lima tahun berturut-turut sejak 2017 hingga tahun lepas.

Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata pengembara dari negara itu menyumbang 26 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelancong asing ke negeri ini pada 2021.

Azrul Shah Mohamad memaklumkan pelawat dari Singapura pula mencatat kehadiran kedua tertinggi dengan lapan peratus diikuti Jepun (tujuh peratus), manakala 59 peratus pelancong domestik.

“Kebanyakan pelancong dari negara berkenaan datang ke Selangor (sebelum pandemik Covid-19) untuk bercuti selain menerima rawatan kesihatan dan perubatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad

“Namun, kita akui pasaran pelancongan China adalah penyumbang utama kepada industri ini di Selangor. Kita akan cuba mengekalkan momentum positif ini,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Azrul Shah berkata jumlah ketibaan pelancong asing ke Selangor dalam peralihan ke fasa endemik hanya akan diperoleh pada suku ketiga 2022.

“Kita tidak dapat menjangkakan berapa jumlah pelancong, namun sudah pasti agak sukar untuk mendapat semula angka diraih tahun sebelum negara dilanda Covid-19,” katanya.

Pada 2018, Selangor mencatat 7.3 juta pelancong dengan 3.2 juta daripadanya adalah pelawat antarabangsa dari China, Jepun dan Eropah.


Pengarang :