EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau ketika merasmikan Program Penempatan Pekerjaan 2022 di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Setapak pada 22 Mei 2022. Foto : SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Temu duga kerja buka peluang bekas banduan perbaiki masa depan

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Beberapa bekas banduan menyatakan rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk mencari pekerjaan menerusi Program Penempatan Pekerjaan 2022 anjuran Kerajaan Negeri.

R Elavarasan, 31, iaitu antara 30 bekas banduan yang dibawa Jabatan Penjara Malaysia untuk menyertai program temu duga itu berharap masyarakat tidak memandang serong insan seperti mereka.

Beliau yang sebelum ini dihukum penjara empat tahun atas kesalahan berkaitan dadah menganggap ia satu peluang untuk berubah dan berjanji akan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Setiap manusia pernah melakukan kesilapan termasuk bekas banduan dan saya harap masyarakat tidak memandang serong serta beri peluang kepada kami untuk mencari pendapatan sendiri melalui pekerjaan yang berfaedah.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Selangor kerana membuka peluang kepada kami untuk menyertai Program Penempatan Pekerjaan 2022 ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Ayer Panas, Setapak di sini hari ini.

Seorang lagi bekas banduan yang mahu dikenali sebagai Surendran, 25, berkata pengalaman enam bulan berada dalam penjara mengajarnya erti keinsafan dan tekad untuk ubah diri ke arah lebih baik.

“Saya berharap program hari ini dapat mengubah masa depan yang lebih cerah dan semoga masyarakat juga boleh menerima kami seadanya dan tidak terus menerus menghukum bekas banduan.

“Semoga program seumpama ini diperluaskan lagi pada masa akan datang supaya lebih ramai bekas banduan mampu dapat kerja dan berdikari,” katanya.

Program Penempatan Pekerjaan 2022 anjuran Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor itu dirasmikan EXCO Pemberdayaan Pekerja V Ganabatirau.

Esok program Jelajah Jobcare akan berlangsung di lokasi sama dan ia terbuka kepada orang ramai yang sudah mendaftar melalui pautan https://uppselangor.wixsite.com/my-site.

Ia membabitkan 14 syarikat antaranya Proton, Adabi consumers Sdn Bhd, 99 Speedmart dan Mydin.

Berikut lokasi dan tarikh seterusnya penganjuran Jelajah JobCare:

  • Dewan Serbaguna Ayer Panas, Setapak (23 Mei)
  • Gombak – Dewan Taman Gombak (4 Jun)
  • Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang (11 dan 12 Jun)
  • Kuala Langat – Dewan Banting Baru (18 Jun)
  • Sabak Bernam – Dewan Sri Bernam (25 Jun)

Pengarang :