Datin Seri Masdiana Muhamad (tengah) melihat aktiviti yang dijalankan anak-anak petugas hadapan di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Frontliners, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Wisma Sunway, Shah Alam pada 17 November 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

720 kanak-kanak bakal terima pek makanan, cegah masalah bantut

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan Negeri akan mengagihkan pek makanan nutrisi kepada kira-kira 720 kanak-kanak yang layak menerusi program Anak Selangor Anak Sihat (Asas), kata ahli penasihat Kesihatan Awam Selangor.

Dr Mohammad Farhan Rusli berkata pek makanan nutrisi itu akan disalurkan selama lima bulan berturut-turut kepada kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun.

“Program ini sudah mula dilaksanakan sejak tahun lalu dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, kemudian kita ambil keputusan untuk teruskan lagi tahun ini.

“Sejumlah RM1 juta diperuntuk bagi program ini bagi menangani masalah berat badan dan ketinggian serta sebagai sekuriti makanan kepada kanak-kanak berkenaan,” katanya kepada Selangorkini.

Katanya, berdasarkan data peringkat kebangsaan seramai tiga daripada 10 kanak-kanak di Malaysia didapati mengalami masalah bantut dan memerlukan pencegahan segera.

“Justeru, ketika Jelajah Selangor Penyayang, kita turut mengadakan saringan dan sesi rundingan untuk mengenal pasti kanak-kanak yang mengalami masalah ini, sekiranya layak mereka boleh terima pek nutrisi berkenaan.

“Namun, kita menasihatkan ibu bapa supaya memandang serius masalah bantut ini selain turut memberi buah-buahan dan sayur-sayuran bagi menyokong pertumbuhan anak mereka,” katanya.

Menerusi program Asas, kanak-kanak yang layak akan menerima pek makanan nutrisi antaranya susu tepung penuh krim, biskut kraker, bijirin dan multivitamin bagi membantu penyerapan kalsium serta menguatkan tulang.


Pengarang :