BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

ADN Pandamaran majukan pelancongan, guna TikTok dekati pengundi muda

Tuah berpihak kepada Leong Tuck Chee apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran dengan majoriti besar 35,965 undi dalam pilihan raya umum (PRU) lalu meskipun pertama kali bertanding.

Pun begitu, beliau tidak kekok berdepan rakyat kerana aktif dalam pelbagai kegiatan parti sejak 2012 selain pernah berkidmat sebagai ahli majlis pada 2017.  Wartawan Sheeda Fathil mendapatkan pandangan Ahli Dewan Negeri (ADN) itu di pejabatnya di Klang, baru-baru ini.

Bagaimana kerjaya terdahulu membantu melancarkan tugas sebagai wakil rakyat?

Sebenarnya sebelum menjadi wakil rakyat, saya ahli perniagaan kemudian terlibat aktif dalam DAP pada 2012. Saya juga pernah menjadi setiausaha persatuan penduduk dan dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada 2017. Saya tidak menolak untuk bertanding pada PRU lalu dengan berbekal pengalaman sebelum ini.

Berapakah jumlah pengundi di kawasan YB dan pecahan mengikut kaum serta umur?

Sebelum ini, pengundi di kawasan saya hampir 58,000 tetapi kali ini saya jangka penambahan keseluruhan boleh mencecah 77,000 termasuk Undi18. Untuk pecahan kaum dan usia setakat ini, saya belum ada data sepenuhnya. Namun, sebelum ini lebih kurang 62 peratus adalah kaum Cina diikuti India (21 peratus) dan Melayu (15 peratus).

Wakil rakyat Leong Tuck Chee menyerahkan bantuan Program Kembali ke Sekolah kepada 300 pelajar sekitar DUN Pandamaran pada 14 Januari 2022. Foto Facebook Tony Leong Tuck Chee

Apakah cabaran dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan bagaimana mengatasinya?

Antara cabarannya ialah apabila rakyat tidak jujur untuk mendapatkan bantuan. Sebagai contoh, kita sudah bersedia membantu tetapi mereka tipu, sebenarnya ada yang lebih susah perlu dibantu. Apabila wujud golongan seperti ini, ia sekali gus menyusahkan individu yang benar-benar memerlukan. Saya seboleh-bolehnya mahu membantu semua orang tetapi kita harap rakyat faham kerana peruntukan DUN tidak banyak, yang juga antara kekangan menyebabkan kita tidak boleh bantu semua.

Menyentuh Iltizam Selangor Penyayang (dahulunya Inisiatif Peduli Rakyat), bagaimana ia membantu golongan berpendapatan rendah (B40)?

Rakyat memang memerlukan pelbagai jenis bantuan daripada kerajaan dan saya amat memuji keprihatinan Kerajaan Selangor kerana menyediakan pelbagai inisiatif. Di Klang, ramai golongan berpendapatan rendah (B40) dan memerlukan bantuan, cuma kita harap rakyat faham tidak semua dapat dibantu. Kita akan pilih yang benar-benar memerlukan sahaja. Kalau ikut permohonan, memang banyak tetapi kita harap rakyat bersabar kerana kuota agak terhad, mungkin bukan sekarang tetapi nanti mereka berpeluang juga. Setakat ini, seramai 1,380 individu menerima manfaat Skim Peduli Sihat, Skim Mesra Usia Emas (6,530) dan Jom Shopping perayaan (hampir 2,000).

Apakah pula inisiatif YB sendiri untuk membantu penduduk dan membangunkan DUN?

Sumbangan bakul makanan kerana sebenarnya ramai yang memerlukan barangan keperluan asas dan kita cuba bantu sedaya upaya. Di samping itu, saya turut memberi bantuan dan dana kepada masjid, surau bagi pengurusan atau baik pulih.

Ahli Dewan Negeri Pandamaran Leong Tuck Chee menyerahkan barang keperluan asas kepada penduduk terjejas banjir di Taman Tengku Bendahara Azman, Pelabuhan Klang pada 27 Disember 2021. Foto Facebook Tony Leong Tuck Chee

Apakah masalah penduduk yang diselesaikan terutama melibatkan B40 dan prasarana?

Sepanjang menjadi wakil rakyat, banyak masalah dan aduan yang saya cuba dan berusaha untuk selesaikan antaranya membaik pulih rumah demi keselesaan penduduk. Ada segelintir yang bumbung rumah mereka terbang akibat dilanda ribut, kita berusaha bantu baik pulih. Selain itu, saya turut menggunakan peruntukan DUN untuk membaik pulih tempat senaman dan padang permainan demi keselesaan rakyat untuk beriadah.

Seperti kita tahu masalah jalan berlubang popular di Klang tetapi sebagai ADN kita cuba selesaikan dan syukur kerana turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Kerja Raya dan pihak berkuasa tempatan. Tidak ketinggalan lampu jalan juga diganti dan dipasang di beberapa jalan sekitar DUN demi keselamatan rakyat.

Ketika wabak Covid-19 melanda, apakah bantuan yang disalur?

Banyak bantuan diberi kepada keluarga yang benar-benar terkesan kerana ramai yang dibuang kerja sehingga terputus sumber kewangan. Kira-kira 6,000 bakul makanan kita sumbangkan kepada mereka demi meringankan beban dengan agihan dibuat berperingkat. Selain itu, kita turut mengagihkan komputer riba dan tablet kepada pelajar bagi memudahkan mereka melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Dalam bencana banjir Disember lalu, apakah bantuan yang disalur kepada mangsa?

Klang kerap dilanda bah terutama banjir kilat. Justeru, saya meminta Jabatan Pengairan dan Saliran menaik taraf kolam tadahan di hadapan Maybank Jalan Batu Unjut. Dianggar, RM1.2 juta sudah diluluskan dan saya harap apabila selesai projek ini yang dijangka akhir tahun ini, masalah banjir tiada lagi atau dikurangkan. Mengenai bantuan, kita mengagih Bantuan Selangor Bangkit, bakul makanan, tilam, bantal, selimut kepada kira-kira 7,000 keluarga yang terjejas banjir di DUN Pandamaran.

Apakah perancangan jangka panjang untuk meningkatkan kemajuan kawasan DUN?

Banyak perancangan antaranya menjadikan DUN Pandamaran sebagai kawasan pelancongan. Saya mahu menarik lebih ramai pelancong kerana di sini banyak lokasi tarikan umum. Sebagai contoh, di Jalan Tunku Kelana iaitu Little India paling popular di Malaysia, kaum India datang membeli-belah untuk Deepavali. Kampung Baru Cina ada makanan yang enak dan kita berhampiran dengan Pulau Ketam yang terdapat perkampungan Orang Asli dan pelbagai jenis makanan laut yang enak. Saya juga berhasrat untuk menaik taraf gerai di Jalan Besar Pandamaran supaya lebih luas, bersih dan selesa.

Ahli Dewan Negeri Pandamaran Leong Tuck Chee meninjau lokasi saringan Covid-19 secara percuma di Taman Bayu Perdana, Klang pada 23 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sedikit tentang politik, apakah usaha yang digerakkan bagi menarik sokongan pengundi baharu?

Untuk menarik pengundi muda memang agak sukar kerana tidak ramai yang minat untuk berkecimpung dalam politik, yang juga antara cabaran buat wakil rakyat. Seperti kita sedia maklum, golongan muda zaman ini lebih minat media sosial. Jadi, mungkin ini salah satu cara untuk kita memikat hati mereka, sebagai contoh membuat TikTok sambil memperkenal dunia politik atau mengapa pentingnya untuk seseorang itu keluar mengundi.

Selain itu, kita juga harus kerap berjumpa dan dengar apa masalah mereka. Pelbagai program DUN Pandamaran anjurkan untuk menarik minat generasi ini seperti bersukan dan e-sukan kerana kita tahu mereka lebih cenderung ke arah itu.

Menyentuh PRU akan datang, adakah YB yakin akan terus menerima sokongan rakyat?

Saya percaya hubungan erat antara saya dan penduduk, mungkin saya boleh dapat sokongan lagi tetapi ia bergantung kepada keputusan parti sama ada membenarkan saya untuk terus bertanding atau tidak. Jika PRU akan datang saya tidak tercalon, saya percaya Selangor tetapi ditadbir Pakatan Harapan.


Pengarang :