Petugas kesihatan membuat pemeriksaan ke atas salah seorang peserta progam Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Cegah sebelum parah, kenal pasti awal penyakit tidak berjangkit

SHAH ALAM, 1 JUN: Program saringan kesihatan percuma membantu rakyat negeri ini mengesan awal penyakit tidak berjangkit sekali gus mengelakkannya menjadi lebih parah.

Menurut ahli penasihat kesihatan awam Selangor, isu kesihatan dipandang serius dengan mengambil iktibar daripada penularan Covid-19 yang menyebabkan ramai meninggal dunia.

Menurut Dr Mohammad Farhan Rusli, kebanyakan yang dimasukkan ke hospital akibat jangkitan wabak itu juga tidak menyedari mereka menghidap penyakit lain.

“Apabila kita melihat trend ini, mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit dan terkena Covid-19 kesannya lebih teruk berbanding mereka yang tiada penyakit lain.

“Jadi, inisitiaf saringan kesihatan percuma Selangor Saring ini bagi mengesan golongan tersebut,” katanya dalam program bual bicara yang disiarkan di Facebook Media Selangor malam tadi.

Beliau menambah golongan yang sering merasakan diri mereka sihat terutama belia antara sasaran utama bagi membuat saringan untuk mengesan risiko penyakit.

“Apabila kita dapat kesan awal, kemungkinan besar kita dapat selamatkan lebih awal. Juga dapat elak rawatan susah yang akan mengambil masa hingga ganggu kualiti hidupnya,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang memanfaatkan
39,000 rakyat khususnya mereka yang ada sejarah perubatan keluarga, berat badan berlebihan dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui pautan selangorsaring.selangkah.my, hubungi Selcare 1-800-22-6600 atau Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor melalui drsitimariah.com/talian-suka/.


Pengarang :