Tiga pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) terpilih menjalani latihan percubaan bersama FC Annecy di Perancis dan Racing FC di Luxembourg bermula 2 Jun sehingga 19 Jun. Foto Facebook AMD
AGENDASUKANKINI

Tiga pemain Akademi Mokhtar Dahari jalani latihan percubaan kelab Eropah

SHAH ALAM, 1 JUN: Tiga pemain muda dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) berpeluang memikat kelab Eropah selepas dihantar menjalani latihan percubaan bersama dua kelab.

AMD memaklumkan mereka yang juga dalam kalangan pemain terbaik AMD generasi 2005 menjalani latihan percubaan bersama FC Annecy di Perancis dan Racing FC di Luxembourg mulai 2 Jun hingga 19 Jun.

“Dari tiga pemain terbabit, dua daripadanya iaitu Mohammad Haykal Danish dan Rohisham Haikal pernah bermain bersama skuad bawah 13 tahun Paris Saint Germain (PSG) dalam Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rome, Itali pada 2018.

“Manakala seorang lagi pemain iaitu Muhammad Abu Khalil adalah pemain utama skuad Piala Presiden AMD yang kini berada pada tangga pertama kedudukan pasukan bagi saingan Piala Presiden,” katanya menerusi Facebook.

Menurut AMD, ketiga-tiga pemain berlepas ke Perancis semalam diiringi Pengarah Teknikal Program Latihan Pembangunan Negara (NFDP) Saad Ichalalene serta jurulatih bawah 17 tahun AMD Amarul Naza Mohamad.

“Ia bertujuan meningkatkan kebolehpasaran pemain selepas mereka tamat pengajian di AMD. Program ini tertangguh hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19 dan akan diteruskan untuk semua generasi di AMD,” katanya.


Pengarang :