Selangorkini
Salah sebuah gudang pemprosesan sisa elektrik dan elektronik (e-buangan) di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat yang ditahan operasi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor. Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar
AGENDA NASIONAL

JAS tahan operasi tiga gudang proses sisa elektrik, elektronik

SHAH ALAM, 23 JUN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menahan serta-merta operasi tiga gudang pemprosesan sisa elektrik dan elektronik (e-buangan) di sekitar Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selasa lepas kerana beroperasi tanpa mendapat kelulusan jabatan itu.

Pengarahnya Nor Aziah Jaafar berkata ketika serbuan, terdapat beberapa pekerja asing sedang meleraikan komponen sisa elektrik dan elektronik yang disyaki diperoleh dari luar negara secara tidak sah.

“Operasi serentak oleh pegawai penguat kuasa JAS itu dilakukan selepas mendapat aduan daripada badan bukan kerajaan alam sekitar kawasan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 34A, 34B, 18 dan 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata siasatan awal mendapati gudang berkenaan beroperasi sejak beberapa bulan lepas selain premis itu disewakan kepada warganegara asing untuk menjalankan operasi peleraian komponen e-buangan.

Beliau berkata JAS Selangor sedang menyiasat pemilik dan penyewa premis untuk tindakan lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :