EXCO Pertanian, Ir Izham Hashim bergambar bersama penerima bantuan insentif pertanian ketika Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang pada 19 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Jelajah Selangor Penyayang: Hampir RM2 juta diagih bantu petani

HULU LANGAT, 19 JUN: Hampir RM2 juta diagih kepada golongan petani sempena program Jelajah Selangor Penyayang.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata inisiatif melibatkan bantuan input seperti biji benih, baja dan mesin sebagai usaha membantu petani mendapatkan hasil berkualiti.

“Kita mulakan dengan 24 petani di Hulu Langat membabitkan peruntukan kira-kira RM400,000. Lepas ini bantuan diteruskan di beberapa daerah lain.

“Bantuan melibatkan petani yang mengusahakan ladang buah-buahan, sayuran serta industri hiliran,” katanya selepas menyerahkan bantuan berkenaan.

Jelajah Selangor Penyayang membuka tirai di Hulu Langat bagi mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat turut melibatkan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Inisiatif dijayakan menerusi peruntukan RM600 juta di bawah Iltizam Selangor Penyayang, menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Jelajah turut dijadualkan berlangsung di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.


Pengarang :