Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman (dua, kiri) menunjukkan Laporan Kelestarian Air Selangor 2021 yang boleh diakses melalui laman sesawang Air Selangor selepas sidang media di The Vertical, Bangsar South City, Kuala Lumpur pada 30 Jun 2022. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kadar purata air tidak berhasil di Selangor 27.93 peratus, lepasi sasaran SPAN

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) merekodkan 27.93 peratus kadar purata air tidak berhasil (NRW) tahun lalu.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata angka itu melepasi sasaran ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu kurang 28 peratus.

Menurut Suhaimi Kamaralzaman, jumlah itu bersamaan penjimatan air sebanyak 192.5 juta liter sehari (JLH) sekali gus mengoptimumkan kos operasi selain menjamin kecekapan sumber.

“Pencapaian ini hasil perancangan strategik yang rapi, pelaksanaan inisiatif kelestarian dan program pengurangan NRW dalaman secara meluas.

“Pembukaan semula sektor ekonomi dan berakhirnya tempoh perintah kawalan pergerakan membantu meningkatkan kemajuan kerja dirancang,” katanya ketika membentangkan laporan kelestarian Air Selangor 2021 di The Vertical, Bangsar South City di sini hari ini.

Untuk rekod, NRW dicatat pada 2020 ialah 28.6 peratus berbanding 29.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, Suhaimi mengumumkan pencapaian lain diperoleh sepanjang tahun lalu iaitu kerjasama dengan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bagi inisiatif air pulih guna untuk kegunaan industri melalui Central Water Reclamation Sdn Bhd.

Selain itu, katanya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sesama Mara Air Selangor berjaya membantu 1,629 individu dan keluarga berpendapatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

“Kita juga mencapai pematuhan piawaian kualiti air minuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agihan bekalan air terawat sebanyak 99.8 peratus,” katanya.


Pengarang :