Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Dataran Sungai Tua Taman Seri Selayang, Gombak pada 31 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Insentif haji kepada bakal jemaah mula diagih minggu ini

GOMBAK, 1 JUN: Agihan Insentif Haji Muassasah 2022 kepada bakal jemaah bermula minggu ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agihan diselaraskan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

“Permohonan sudah dibuka sejak 23 Mei dan kita sedang mengumpul data untuk diteliti. Agihan insentif ini secara tunai atau bank, bergantung kepada permintaan jemaah,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Sungai Tua yang berlangsung di Dataran Sungai Tua malam tadi.

Insentif Haji Muassasah Selangor yang tertangguh dua tahun akibat Covid-19 diteruskan tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta dan bakal memanfaatkan 3,000 jemaah.

Pemohon yang layak akan menerima tunai RM500 serta kit cenderahati mengandungi beg, cecair nyahkuman, losyen, pelembap bibir, tuala muka dan tisu basah.

Antara syarat permohonan mestilah warganegara Malaysia, tawaran menunaikan haji pada tahun ini dan beralamat di Selangor atau mendaftar di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji.

 


Pengarang :