Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) antara yang akan diperkenalkan dalam Karnival Jelajah Selangor Penyayang daerah Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDASELANGOR

Nash, Iman Troye serikan jelajah bantuan rakyat di Ampang esok

SHAH ALAM, 18 JUN: Penyanyi terkenal Datuk Nash bakal menceriakan penonton yang hadir pada program Jelajah Selangor Penyayang di padang Taman Kosas, Ampang esok

Nash yang terkenal dengan lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu bakal mendendangkan beberapa lagu popularnya sekitar jam 12 tengah hari.

Selain Nash, program itu turut menampilkan penyanyi muda Iman Troye yang popular menerusi lagu Pejam Celik Hari Raya dan Nang.

“Orang Hulu Langat! Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan khas dari Datuk Nash dan juga Iman Troye esok.

“Persembahan khas tersebut akan bermula dari jam 12 tengahari. Jumpa anda di sana!,” tulis di Facebook Selangor Penyayang.

Jelajah Selangor Penyayang yang membuka tirai di Ampang bertujuan mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat dengan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta di bawah Iltizam Selangor Penyayang bagi menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Jelajah itu turut dijadual diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.


Pengarang :