Ahli Dewan Negeri Sabak Ahmad Mustain Othman (tengah) diringi oleh Pengurus Besar Selgate Healthcare Sdn Bhd Dr Jeevarajah Ratnarajah (dua, kiri) menyantuni peserta program Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Pemeriksaan kesihatan percuma di Hulu Langat, Kuala Langat, Kuala Selangor Sabtu, Ahad ini

SHAH ALAM, 8 JUN: Pemeriksaan kesihatan percuma akan diteruskan hujung minggu ini di tiga lagi kawasan Parlimen iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Dato’ Menteri Besar berkata program Selangor Saring kali ini membabitkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lembah Jaya, Bukit Antarabangsa, Sijangkang, Sungai Burong dan Permatang.

Berdasarkan perkongsian Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter bagi DUN Lembah Jaya dan Bukit Antarabangsa akan diadakan di Padang Taman Kosas Ampang pada 11 Jun ini.

Manakala pada 12 Jun di DUN Sijangkang ia akan berlangsung di Dewan Wawasan Kampung Medan dan DUN Sungai Burong serta Permatang di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Tiram Jaya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Seramai 3,215 individu sudah menjalani saringan kesihatan percuma sejak dianjurkan pada 22 Mei lalu.


Pengarang :