Suasana di Jeti Hujung Pasir Labuan pada 15 April 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar minta kerajaan atasi isu orang tengah kawal bekalan ikan

SHAH ALAM, 8 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan segera mencari jalan bagi menyelesaikan isu orang tengah yang dipercayai mengawal rantaian bekalan sektor perikanan negara.

Ketua Pembangkang berkata kewujudan orang tengah menjadi punca harga dan bekalan ikan serta produk akuakultur di negara ini tidak stabil.

“Isu ini ternyata amat mendukacitakan kerana ia memberi kesan mendalam kepada golongan nelayan dan keluarga mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kerajaan menerusi kementerian terlibat perlu menyatakan pendirian terkait perkara ini sekali gus mencari jalan untuk merungkai permasalahan yang berlaku dan menawarkan jalan penyelesaian,” katanya di Facebook.

Anwar juga berkata, sindiket orang tengah tidak seharusnya dibiarkan mendominasi bekalan sektor perikanan dan terus menekan golongan nelayan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media bahawa orang tengah bukan sahaja berkuasa membeli ikan pada skala besar, mencorak, menentu serta memanipulasi bekalan dan harga di pasaran negara tetapi juga membangunkan ekosistem perikanan kebal yang tidak mampu ditembusi pesaing baharu.


Pengarang :