Atlet menembak Selangor, Muhammad Syukri Zulkifli (baju merah) ketika ditemui Selangorkini pada 30 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Pernah menang dalam demam, atlet negeri bidik tiga emas SUKMA 2022

Oleh Faysal Amani

Demam pada hari pertandingan tidak menggugat keupayaan Muhammad Syukri Zulkifli merangkul emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Mengakui fokus terganggu serta ketahanan badan menjadi lemah, atlet menembak Selangor itu mengenepikan rasa tidak selesa dan gugup beraksi di pentas kebangsaan pada usia 16 tahun bagi mengungguli kategori 50 meter (m) rifle prone berpasukan lelaki.

Penembak kelahiran Kuala Terengganu yang membesar di Subang Jaya itu turut meraih pingat perak menerusi acara 50m air rifle individu lelaki dalam penyertaan kali kedua pada temasya sama.

“Saya mula tak sedap badan dan berasa lemah sehari sebelum hari pertandingan.

“Namun saya kuatkan semangat dan tidak mahu menarik diri kerana telah buat persiapan rapi sebelum ke Sarawak. Alhamdulillah di sebalik semua cabaran itu, saya dapat membantu rakan lain meraih emas acara berpasukan dan perak acara individu,” katanya kepada Selangorkini pada 30 Mei.

Bukan mudah anak pasangan Zulkifli Haron, 53, dan Fadzilah Ramli, 52, beraksi dalam keadaan kurang sihat, apatah lagi sukan menembak memerlukan fokus tinggi.

Pertama kali Muhammad Syukri menyertai SUKMA pada 2014 di Perlis ketika di tingkatan dua. Dalam temasya di Perak pada 2018, anak keempat daripada enam beradik itu menyumbang tiga pingat perak untuk Selangor.

Ia diperoleh menerusi acara 10m air rifle lelaki berpasukan, 50m prone lelaki berpasukan serta 50m rifle 3 posisi.

Atlet menembak Selangor, Muhammad Syukri Zulkifli ketika ditemui Selangorkini pada 30 Mei 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ikut jejak kakak

Muhammad Syukri menyertai pertandingan menembak sejak berusia 13 tahun mengikut jejak kakaknya, Nur Syahirah yang terlebih dahulu aktif dalam sukan itu.

Nur Syahirah, 27, adalah penembak negara yang beraksi pada Kejohanan Universiti Dunia, selain meraih beberapa kejayaan dalam kejohanan tempatan serta antarabangsa.

“Semuanya bermula ketika saya berusia 12 tahun, saya sering mengikut kakak ke lapang sasar di Subang untuk menjalani latihan menembak.

“Pada mulanya, saya lebih banyak habiskan masa dengan berenang di kolam berhampiran. Lama-kelamaan minat mula timbul dan saya belajar dan membuat bidikan di lapang sasar.

Sejak itu, Muhammad Syukri bernaung bawah Persatuan Menembak Selangor (SSA) bagi menjalani latihan komprehensif mengikut jadual ketat.

Pelajar ijazah sarjana muda jurusan sains komputer di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam juga giat menyertai pelbagai pertandingan peringkat tempatan bagi menimba pengalaman.

“Pertandingan antarabangsa pertama adalah Kejohanan Menembak Kebangsaan di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang pada 2015, ketika berusia 15 tahun.

“Itu kali pertama saya berpeluang bersaing dengan penembak handalan dari negara luar. Ia kenangan cukup manis bagi saya dan menjadi pengalaman berharga untuk lebih maju dalam sukan ini,” katanya.

 

Muhammad Syukri Zulkifli (tengah) ketika merangkul pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak.

Beliau memilih sukan menembak kerana ia memiliki cabaran tersendiri. Menembak memerlukannya berlawan dengan diri sendiri selain perlu sentiasa fokus dan tenang.

“Kita membidik yang terbaik untuk diri sendiri dan tak kacau orang. Mata yang kita peroleh, kita sendiri menentukannya,” katanya.

Mengenai SUKMA ke-20 yang bakal berlangsung antara 16 hingga 24 September di Kuala Lumpur, bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu menyasarkan empat pingat emas.

Tiga emas disasar menerusi acara berpasukan iaitu acara 10m air rifle lelaki berpasukan, 50m prone lelaki berpasukan serta 50m rifle 3 posisi, selain acara 50m prone lelaki individu.

Bagi mencapai sasaran, beliau membahagikan masa pengajian universiti dan latihan lima jam sehari.

“Alhamdulillah pensyarah serta rakan-rakan sekuliah memahami situasi saya dan banyak memberikan sokongan, namun saya tidak sesekali mengabaikan pelajaran,” katanya.


Pengarang :