Kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dalam operasi pencegahan denggi pada 3 Jun 2022. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

Sembilan kompaun dikeluarkan dalam operasi cegah denggi di Petaling Jaya

SHAH ALAM, 6 JUN: Sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan terhadap premis perniagaan dalam operasi pencegahan denggi pada 3 Jun lalu.

Menurut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) operasi itu dijalankan di kawasan rumah kedai di Jalan PJS 5/2 berikutan peningkatan kes denggi di sekitar Flat Desa Mentari.

“Operasi dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, Jabatan Penguatkuasaan MBPJ serta Unit Vektor Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ kerana peningkatan kes denggi di Flat Desa Mentari.

“Sebanyak sembilan kompaun dikeluarkan iaitu masing-masing tiga oleh Jabatan Penguatkuasaan, PKD Petaling serta Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Tindakan menyita juga diambil oleh Jabatan Penguaktuasaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, sebanyak 920 kes denggi direkodkan di Selangor pada 15 hingga 21 Mei lalu iaitu peningkatan 270 kes berbanding 650 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 36 lokaliti tiitk panas turut dilaporkan di Selangor sepanjang tempoh berkenaan.


Pengarang :