Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort, Hulu Langat dibuka semula kepada orang ramai mulai 4 Jun 2022 selepas ditutup sejak tahun lalu bagi kerja naik taraf dan baik pulih. Foto Tourism Selangor
AGENSISELANGOR

Taman Eko Rimba Chongkak di Hulu Langat dibuka, aktiviti terhad hingga 5 petang

SHAH ALAM, 4 JUN: Taman Eko Rimba Chongkak Park Resort, Hulu Langat dibuka semula kepada orang ramai mulai hari ini, selepas ditutup sejak hujung tahun lepas bagi kerja naik taraf lokasi pelancongan itu.

Ketua pegawai eksekutif Tourism Selangor berkata kehadiran pengunjung ke pusat riadah itu tidak terhad, namun semua pihak dinasihatkan memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan terbabit.

Menurut Azrul Shah Mohamad aktiviti mendaki bukit cenuang perlu mendapat permit jabatan perhutanan negeri dan ditunjukkan kepada kakitangan bertugas manakala perkhemahan bermalam tidak dibenarkan.

“Diharap orang awam dapat kembali menikmati aktiviti riadah alam semula jadi di Selangor, namun menitikberatkan soal kebersihan, keselamatan diri dan pengunjung lain,” katanya dalam kenyataan.

Kawasan pelancongan seliaan Tourism Selangor itu ditutup sejak 18 Disember tahun lalu untuk kerja naik taraf dan baik pulih.

Berikut SOP lain digariskan:

  • Waktu operasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang
  • Pengunjung diminta membuat pembayaran sebelum memasuki kawasan atau menjalankan sebarang aktiviti
  • Sebarang tempahan tapak astaka, tapak perhimpunan dan dewan terbuka hendaklah dipohon selewat-lewatnya seminggu sebelum tarikh penggunaan
  • Pengunjung yang ingin memasuki kawasan menggunakan kenderaan diminta mengisi borang kemasukan kenderaan
  • Sebarang aktiviti pengambaran perlu memohon dan mendapatkan kelulusan pihak pengurusan selewat-lewatnya dua minggu sebelum penggambaran dijalankan
  • Pengunjung tidak dibenarkan berada di dalam kawasan selepas waktu operasi
  • Pintu pagar akan dikunci tepat jam 5 petang


Pengarang :