Pemain beregu campuran Malaysia Goh Soon Huat (belakang) dan Lai Shevon Jemie menewaskan rakan senegara Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing pada perlawanan pusingan kelayakan Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil pada 28 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Terbuka Malaysia: Soon Huat-Shevon Lai mara pusingan kedua

KUALA LUMPUR, 28 JUN: Gandingan profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie melepasi ujian pertama apabila mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 hari ini.

Dalam meraikan kejayaan mereka, terdetik rasa ‘sedih’ apabila terpaksa menyingkirkan rakan latihan mereka Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh pada perlawanan yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil di sini.

Pasangan di ranking ke-14 dunia itu bermula agak gugup apabila ketinggalan 11-18 namun cepat bangkit untuk menang set pertama dengan 21-18.

Kian Meng-Pei Jing yang menduduki ranking kesembilan dunia pula mengheret perlawanan ke set penentuan apabila menguasai set kedua dengan 21-19 sebelum Soon Huat-Shevon mengesahkan tempat ke pusingan kedua dengan 21-18.

Shevon ketika ditemui mengakui tidak gembira dengan undian kali ini apabila terpaksa berdepan Kian Meng-Pei Jing pada pusingan awal.

“Saya harap lebih ramai wakil Malaysia pada pusingan seterusnya tapi kita terpaksa menerima undian yang telah dibuat. Sasaran kita sekarang adalah untuk memastikan Malaysia terus berada dalam kejohanan ini dengan melangkah ke podium nanti,” katanya.

Mengenai perlawanan hari ini, Shevon mengakui tidak dapat mengawal pukulan pantas dan kuat dari lawan namun lega melihat corak permainan Soon Huat yang berani sehingga mereka memenangi perlawanan pusingan pertama.

Shevon turut mengakui mereka masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami keracunan makanan ketika Masters Indonesia, tapi gembira apabila dapay memulakan kempen Terbuka Malaysia dengan langkah kanan.

Sementara itu, Kian Meng berkata mereka kurang bernasib baik pada perlawanan hari ini, dan bagi Pei Jing pula tekad untuk bangkit pada Masters Malaysia minggu depan.

Bagi pasangan muda negara Chang Yee Jun-Yap Roy King yang memberikan saingan sengit dalam saingan beregu lelaki, bagaimanapun terpaksa akur kepada gandingan dari China Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 14-21, 18-21.

Roy King mengakui bahawa kurangnya pengalaman bersaing dalam kejohanan peringkat tinggi memberi kesan kepada mereka dan berharap untuk kembali lebih kuat pada masa akan datang.

— BERNAMA

 


Pengarang :