Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 28 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Kes baharu, kematian meningkat minggu lepas

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Kes harian baharu Covid-19 menunjukkan peningkatan dengan kadar kenaikan sebanyak 13.5 peratus iaitu 29,886 pada minggu epidemiologi (ME) ke-29 dari 17 hingga 23 Julai berbanding 26,335 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, bilangan kes tempatan meningkat sebanyak 13.5 peratus iaitu 26,317 kes kepada 29,858 kes, manakala bilangan kes import menurun sebanyak 26.3 peratus iaitu 38 kes kepada 28 kes.

“Bilangan kes sembuh pada ME ke-29 meningkat sebanyak 18.9 peratus iaitu daripada 19,138 kes kepada 22,757 kes,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bilangan kes kematian pada ME ke-29 menunjukkan peningkatan sebanyak 61.5 peratus iaitu sebanyak 63 kes berbanding 39 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 18.3 peratus iaitu peningkatan sebanyak 12.5 peratus bagi pesakit kategori 1 dan 2 diikuti peningkatan sebanyak 25 peratus bagi kategori 3, 4 dan 5.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham memaklumkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk tiada perubahan pada ME ke-29.

Selain itu, beliau berkata trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya) turun 1.7 peratus pada akhir ME ke-29 iaitu 70,140 kes, berbanding 71,326 kes pada minggu sebelumnya.

Katanya sehingga kini, terdapat 15 kluster Covid-19 yang masih aktif dalam negara dan purata nilai RT juga menunjukkan kadar statik iaitu 1.10 bagi tempoh ME ke-29.

Sementara itu, beliau memaklumkan bagi survelan Jangkitan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi Covid-19, kadar positif sampel ILI bagi Covid-19 pada ME ke-29 menurun sebanyak 0.9 peratus.

“Kadar positif sampel ILI bagi Covid-19 menurun kepada 11.4 peratus berbanding 11.5 peratus pada ME ke-28, manakala kadar positif sampel SARI bagi Covid-19 pula kekal 0 peratus,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :