Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan kunci rumah kepada pemilik ketika Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Residensi Adelia, Kajang pada 2 Mei 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hak milik strata, semua permohonan lengkap diproses ikut tempoh ditetap

SHAH ALAM, 29 JULAI : Semua permohonan hak milik strata yang dikemukakan lengkap sudah diproses mengikut tempoh ditetapkan seperti terkandung dalam piagam pelanggan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS)  .

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya mengambil maklum dan komited menyelesaikan skim pembangunan strata yang belum ada hak milik, termasuk menubuhkan pasukan khas.

“Berdasarkan aduan dan maklumat orang awam dan pesuruhjaya bangunan, satu pasukan khas PTGS diwujud bagi menyelesaikan isu hak milik strata yang bermasalah di Selangor.

“Bagaimanapun, PTGS boleh mengambil tindakan mengikut Seksyen 8, Akta Hak Milik Strata 1985 terhadap mana-mana pemilik asal tanah atau pemaju gagal mengemukakan permohonan hak milik tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha berhubung isu pemberian hak milik strata kepada pembeli yang menunggu lebih 10 tahun dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurutnya, langkah yang akan dilaksanakan oleh PTGS adalah membantu menyenaraikan skim strata kepada yang belum menerima dan menyelaraskan proses perlu dalam hak milik strata.

“Langkah lain adalah mengenal pasti masalah dan isu berkaitan skim tidak memiliki strata, membuat pemantauan terhadap skim strata bermasalah serta melaksanakan tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 8 Akta Hak Milik Strata 1985,” katanya.


Pengarang :