Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar (dua, kanan) menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 298 orang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini yang tiba melalui penerbangan Saudia Airlines SV 5612. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di tanah air

SEPANG, 18 JULAI: Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia seramai 298 orang tiba di tanah air hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini melalui penerbangan Saudia Airlines SV 5612.

Ketibaan mereka pada pukul 9.05 pagi dari Jeddah, Arab Saudi disambut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Azman Mokhtar.

Ahmad Marzuk ketika ditemui pemberita berkata 49 penerbangan menerusi Malaysia Airlines (MH) dan Saudia Airlines disediakan bagi membawa kesemua 14,305 jemaah haji pulang ke tanah air bermula semalam hingga 13 Ogos ini.

“Jemaah haji akan balik secara berperingkat dan mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh TH… syukur operasi haji pada tahun ini berjalan dengan lancar.

“Semua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat dengan selamat, selesa dan teratur meskipun cuaca agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah celcius,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata 32 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan di hospital di Makkah kerana mengalami strok haba.

“Alhamdulilah, semua jemaah haji yang menerima rawatan dilaporkan stabil… kita nasihatkan baki jemaah haji yang masih berada di Makkah untuk menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.

Sementara itu Azman merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi haji kali ini terutama sekali Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi di Malaysia.

“TH amat berterima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Muassasah Asia Tenggara serta semua agensi yang terlibat di dalam operasi haji di tanah air dan di tanah suci,” katanya.

Seorang jemaah haji dalam kumpulan pertama yang tiba di tanah air hari ini, Muhammad Anas Rosdi, 26, berkata melaksanakan ibadat dan membantu jemaah haji yang berusia menyelesaikan rukun Islam kelima itu adalah pengalaman paling manis baginya ketika berada di tanah suci.

Sukarelawan program Sahabat Maktab itu berkata panggilan haji cukup istimewa kerana beliau dapat mengerah kudrat ketika usia muda untuk membantu jemaah lain.

Sebagai sukarelawan, beliau membantu dalam urusan pengagihan makanan dan menyantuni tetamu Allah yang sakit atau memerlukan bantuan ketika melaksanakan ibadat haji.

“Kalau ada yang tidak mampu berjalan, kami sebagai sukarelawan Sahabat Maktab membantu dengan bawa kerusi roda dan lain-lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Balai Ketibaan KLIA.

Kakaknya Nur Syafiqah, 29, pula berkata antara cabaran ketika menunaikan ibadat haji adalah keadaan cuaca yang agak panas di Makkah.

“Alhamdulillah semua jemaah dapat menyelesaikan ibadat haji dengan teratur dengan bantuan pengurusan daripada TH,” katanya yang ke tanah suci bersama suaminya Mohd Nor Hanafi Latif, 33.

Md Radzi Md Lazim, 41, dari Kelantan menyifatkan TH mengendalikan operasi haji kali ini dengan baik meskipun pelaksanaan ibadat haji sebelum ini pernah tertangguh dua tahun akibat pandemik Covid-19

– BERNAMA


Pengarang :