Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis bercakap kepada media ketika melakukan kunjungan bagi rancangan penubuhan Serve Elit di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong, Shah Alam pada 24 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Mayat nelayan Banting dijumpai enam kilometer dari lokasi bot terbalik

BANTING, 18 JULAI: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot terbalik berhampiran Jeti LKC di Kampung Sungai Rambai, Jenjarom, dekat sini, semalam ditemukan lemas kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata mangsa Mohd Azra’e Hamir Hasan berumur lingkungan 30-an ditemukan menerusi kaedah pencarian di permukaan berhampiran jambatan Kampung Sawah Banting pada jam 1.25 tengah hari.

“Kerja mencari dan menyelamat mangsa dimulakan petang semalam dan diteruskan hari ini dengan tertumpu pada jarak satu kilometer ke arah Sungai Manggis dan Pulau Carey.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasat,” katanya kepada Bernama.

Semalam, bot dinaiki mangsa dan dua rakannya, Ady Abdul Rahman, 56, dan Mohd Firdaus Mohamad, 40-an, dilaporkan terbalik pada kejadian petang semalam.

Ady dan Mohd Firdaus berjaya menyelamatkan diri masing-masing namun Azra’e dilaporkan hilang.

-BERNAMA


Pengarang :