Seramai 50 peserta yang menyertai Persidangan Pendaftar-Pendaftar Muallaf dan Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) MAIS 2022 yang berakhir pada 24 Julai 2022. Foto Facebook Mais
AGENSISELANGOR

Pendaftar muallaf, pegawai tadbir agama usaha tambah baik urusan pengislaman

SHAH ALAM, 26 JULAI: Seramai 50 peserta menyertai persidangan pendaftar muallaf dan pusat pengurusan pengislaman (PPP) anjuran Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Menurut Mais, persidangan yang berlangsung pada 22 hingga 24 Julai lalu itu bertujuan membincangkan isu semasa berkaitan pengurusan, perundangan, perkahwinan dan pendaftaran pengislaman muallaf di negeri ini.

Katanya, ia juga memberi peluang kepada pendaftar muallaf, pegawai tadbir agama daerah dan wakil PPP membincangkan serta memberi cadangan penambahbaikan dalam pengurusan pendaftaran pengislaman.

“Sebanyak enam perkara dibincangkan sepanjang persidangan antaranya pengurusan pendaftaran pengislaman, isu perundangan membabitkan pengislaman dan isu berkaitan pindaan status agama di Mykad.

“Perbincangan isu itu dibentangkan oleh wakil dari beberapa agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor, Sektor Undang-Undang Mais dan Bahagian Baitulmal Mais,” katanya di Facebook.

Persidangan tiga hari itu dirasmikan oleh Setiausaha Mais, Dr Ahmad Shahir Makhtar manakala penutup oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Muallaf Mais, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.

Turut diadakan majlis penyampaian sumbangan pendaftaran pengislaman sebanyak RM64,900 kepada 22 PPP yang berjaya mendaftarkan pengislaman dengan sempurna pada 2021.

“Semoga sumbangan ini menjadi motivasi buat semua PPP untuk terus membantu Mais dalam pengurusan pengislaman selain meringankan beban mereka untuk mengadakan aktiviti bersama muallaf,” katanya.


Pengarang :