Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah di Karnival Jualan Ehsan Aidiladha di Jalan GP2, Taman Gombak Permai pada 8 Julai 2022. Foto Facebook PKPS
AGENSISELANGOR

PKPS: 1,500 ayam terjual, 300 minyak masak paket habis kurang sejam

GOMBAK, 8 JULAI: Jualan murah sempena Aidiladha di Taman Gombak Permai hari ini menerima sambutan amat memberangsangkan apabila banyak barangan asas habis dijual dalam tempoh beberapa jam.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dijadualkan bermula jam 9 pagi juga terpaksa diawalkan memandangkan pengunjung sudah beratur sejak jam 7 pagi.

Pengurus Pemasarannya Md Saad Mahsah berkata pihaknya mencatat nilai jualan hampir RM40,000 sepanjang program yang berakhir jam 12.30 tengah hari tadi.

“Sebanyak 300 paket minyak masak habis dijual dalam tempoh kurang sejam. Malahan 1,500 ayam juga habis.

“Ramai pembeli memuji dan berharap karnival seperti ini dapat dianjurkan lebih kerap dan tidak hanya pada musim perayaan,” katanya.

Selain ayam dan minyak masak paket,  program ini turut menawarkan telur, daging dan ikan pada harga murah berbanding pasaran.

Bermula di Sijangkang pada 5 Julai, karnival empat hari diteruskan di Bukit Beruntung dan Tanjung Sepat.

Selain jualan di sini, karnival sama turut berlangsung serentak di belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah.

Pada 19 Mei lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program tersebut berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga di negeri ini.

Sejak Disember tahun lalu, jualan murah PKPS sudah berlangsung di 64 lokasi seluruh negeri bagi mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.


Pengarang :