Petugas melapah daging lembu untuk diagihkan kepada asnaf terpilih sempena Aidiladha di Masjid At- Takwa Selayang Baru, Batu Caves, Gombak pada 10 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sambutan Hari Raya Aidiladha, ibadah korban kembali meriah

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Selepas dua tahun umat Islam di negara ini ‘berkorban’ menyambut Hari Raya Aidiladha secara sederhana selain aktiviti ibadah korban dihadkan susulan pandemik Covid-19, tahun ini ibadah itu kembali disambut dengan penuh rasa syukur dan meriah.

Masjid dan surau di seluruh negara menjadi tumpuan umat Islam sama ada warga tempatan atau warga asing untuk menunaikan solat sunat Aidiladha selain menyertai ibadah korban.

Walaupun tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 sudah dilonggarkan dengan tidak mewajibkan jemaah menjarakkan saf, namun orang ramai masih mengamalkan kawalan kendiri dengan memakai pelitup muka.

Ibadah korban yang dilaksanakan selepas selesai solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijah dan hari-hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah sebelum berakhir waktu Asar melibatkan semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Di ibu kota, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Wilayah Persekutuan di sini yang diimamkan Penolong Pengarah Kanan masjid itu Dr Khalid Isa, sementara khutbah bertajuk “Berkorban Untuk Kejayaan” disampaikan Imam Besar masjid Rozimi Zamri.

Di Putrajaya, lebih 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, diimamkan Iman Besar masjid Ustaz Nor Azamir Alias, selain tujuh ekor lembu dan seekor kambing disembelih untuk diagihkan selepas pukul 11.30 pagi.

Di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz berkenan berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Di Melaka, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 4,000 jemaah di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini, manakala di Kelantan pula, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan jemaah di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.

Di Terengganu, umat Islam menyambut Aidiladha dengan penuh kemeriahan dan solat sunat hari raya bermula pada 8 pagi, manakala ibadah korban pula bermula seawal 9 pagi di masjid, surau, kawasan lapang, rumah sembelihan swasta dan perkarangan rumah persendirian.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu Dr Anun Man berkata sebanyak 6,383 kebenaran sembelih dan 5,509 permit pindah haiwan dikeluarkan pada Aidiladha kali ini.

Di Pahang, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan berangkat menunaikan solat sunat di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Suasana masjid dan surau di Johor, Selangor, Perak, Perlis dan Pulau Pinang juga meriah dengan kehadiran orang ramai serta pemimpin utama negeri masing-masing bersama-sama menunaikan solat sunat Aidiladha serta menyertai acara ibadah korban.

Di Masjid Jamek Hashim Yahaya, Georgetown, (Pulau Pinang), sebanyak 19 ekor lembu termasuk seekor lembu ‘sado’ seberat lebih satu tan dan 30 ekor kambing akan dikorbankan hari ini.

Sementara di Kedah walaupun Aidiladha disambut meriah, umat Islam di negeri itu diingatkan agar menjiwai semangat pengorbanan untuk bersusah payah bersama-sama dalam meringankan beban golongan memerlukan, susulan banjir melanda Baling yang menjejaskan 1,490 penduduk selain meragut tiga nyawa.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam perutusan raya mengajak umat Islam menjiwai semangat pengorbanan dengan bersama-sama dalam meringankan beban golongan yang memerlukan.

Sementara itu, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) aliran trafik di beberapa lebuh raya dan plaza tol utama juga lancar dan terkawal pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :