Gelagat penyokong Selangor pada kejohanan Piala Sultan Selangor 2019 di Stadium Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Selangor FC: Baik pulih semula Stadium Shah Alam perlu sokongan semua

SHAH ALAM, 17 JULAI: Semua pihak perlu menyokong keputusan Kerajaan Selangor untuk membaik pulih  Stadium Shah Alam, kata Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC.

Menurut Johan Kamal Hamidon, pembinaan semula yang lengkap dengan kemudahan dan peralatan terkini bakal memberi pelbagai manfaat untuk tempoh jangka panjang.

“Saya dan kelab (Selangor FC) amat teruja dengan pengumuman projek ini dan saya fikir semua orang di Selangor juga patut memiliki perasaan yang sama.

“Ia menandakan era baharu, tempat beraksi baharu dan ia satu yang amat bermakna untuk kami untuk tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya kepada The Vibes.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan surat niat (LOI) kepada Malaysian Resources Corporation Berhad MRCB oleh Kerajaan Negeri kelmarin.

Projek pembinaan itu dijangka bermula awal tahun depan dan siap pada 2026.

“Bagi sesuatu yang penting dan amat bermakna seperti ini, saya fikir penantian itu sangat berbaloi. Ia bukan sesuatu yang sering berlaku dalam hidup kita.

“Lagipun kita tidak mahu pembinaan stadium ini dibuat separuh jalan. Jadi ia bukan satu yang merugikan kerana usaha dan komitmen yang ditunjukkan kepada projek ini,” katanya.

Ketika ini, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menjadi lokasi perlawanan Selangor FC selaku tuan rumah dalam sebarang perlawanan bola sepak.

Mengenai pasukan Selangor FC, Johan berkata, kesemua pemain memang mengharapkan sebuah stadium yang mampu membanggakan mereka.

“Stadium sedia ada mempunyai pelbagai masalah yang tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.

“Jadi, mereka memang berbangga dapat memiliki sesuatu yang baharu dan mampu memberi semangat kepada mereka,” katanya.


Pengarang :