BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Wakil rakyat Kampung Tunku perjuang nasib wanita, bela warga emas

Hampir lima tahun berkhidmat sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku menjadikan Lim Yi Wei mahir selok-belok pentadbiran selain mengenali ramai penduduk setempat.

Pemimpin muda ini juga sering mengadakan program kesedaran dan kegiatan bersama rakyat meliputi pelbagai peringkat usia selain menumpukan pembangunan prasarana.  Wartawan Mustakim Ramli mengupas pengalaman wakil rakyat berusia 32 tahun ini dalam membantu menyelesaikan masalah penduduk Kampung Tunku.

Boleh kongsi pengalaman bekerja di luar negara sebelum memilih untuk berkhidmat kepada rakyat?

Selepas tamat pengajian, saya bekerja di Hong Kong sebagai penerbit persidangan selama dua tahun bermula 2014. Di sana kami banyak menganjurkan persidangan melibatkan syarikat berkaitan teknologi kewangan. Daripada situ, saya belajar mengurus masa dengan baik dan bagaimana menguasai topik-topik yang berbeza. Kerja lama ini memerlukan saya menemu bual pelbagai pihak, jadi segala kemahiran itu saya bawa apabila menceburi bidang politik. Apabila saya menjadi setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, memang saya ambil alih semua portfolio berkaitan penganjuran program.

Kepentingan masa kita bekerja dulu juga diamal ketika ini antaranya saya tidak suka bermesyuarat dalam tempoh lama kerana ia tidak mendatangkan kesan, selain menguasai topik kerana sebagai wakil rakyat kita perlu tahu semua perkara.

Selepas hampir lima tahun berkhidmat, apakah masalah penduduk yang diselesaikan terutama golongan berpendapatan rendah (B40) dan prasarana setempat?

Bagi prasarana setempat, kami bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk melaksanakan dua projek bagi menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan SS1 dan SS3. Setakat ini, satu projek masih berjalan dan maklum balas penduduk air tidak masuk ke dalam rumah lagi selepas projek itu dilaksana. Untuk golongan berpendapatan rendah, kami sentisa memberi bantuan makanan dan bantuan lain dari masa ke semasa. Kami juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi perkhidmatan tuisyen percuma kepada anak-anak sekolah rendah di Flat Sri Aman. Mereka terdiri daripada guru berpengalaman dalam mendidik. Baru-baru ini juga kanak-kanak di flat berkenaan dibawa ke Zoo Negara. Ini pengalaman baharu buat mereka selain merancang membawa mereka menyaksikan bola sepak Selangor FC.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei (dua, kiri) bersama Pengerusi Kumpool Goh Chun Hean (tiga, kiri) selepas sidang media kerjasama Kumpool dan DUN Kampung Tunku, Petaling Jaya pada 9 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bagaimanakah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) membantu golongan berpendapatan rendah dan insitiatif mana paling mendapat sambutan?

IPR yang paling relevan kepada penduduk DUN Kampung Tunku ialah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Peduli Sihat yang kini diberi nama Iltizam Sihat Selangor. Kedua-dua ini paling mendapat permintaan kerana kita ada ramai penduduk warga emas. Kita kerap mengadakan pertemuan dengan menggalakkan penduduk yang layak untuk mendaftar dan menerima manfaat inisiatif Kerajaan Negeri.

Belanjawan Selangor sangat progresif, holistik dengan mengambil kira banyak aspek. Ia dilihat melindungi, memberi jaringan keselamatan kepada golongan berpendapatan rendah. Apabila kita boleh menjaga golongan ini, ia bermaksud kita boleh menjaga semua peringkat masyarakat.

Apakah pula inisiatif sendiri untuk membantu penduduk dan membangunkan kawasan?

Kami mementingkan strategi dalam merancang sesebuah program. Sebagai contoh saya tidak gemar buat program makan-makan begitu sahaja walaupun ia mampu menarik orang ramai. Saya lebih fokus kepada aktiviti yang memberi kesedaran kepada orang ramai seperti program Pusat Wanita Berdaya (PWB), kami jemput NGO untuk beri pendedahan mengenai keganasan rumah tangga. Begitu juga Penggerak Belia Selangor (PEBS) kami buat program kaligrafi berkaitan harimau dan usaha menyelamatkan haiwan itu. Kita buat program yang ada pendidikan, kemahiran. Bagi warga emas, kita perbanyak program penjagaan kesihatan seperti di SS2 baru-baru ini, lebih 200 yang hadir walaupun awalnya kita sasar hanya 150 orang. Kita akan buat lagi program ini bulan hadapan.

Selain itu, kita juga menyediakan perkhidmatan e-panggilan van melalui aplikasi Kumpool Ride yang mendapat sambutan baik sejak dilancarkan awal Mei lalu. Kumpool Ride diperkenal bagi menyurai kesesakan trafik dan parkir dengan kadar RM1 untuk akses pengangkutan lebih mudah, selesa dan selamat setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam.

Apabila wabak Covid-19 melanda, apakah jenis bantuan dan berapakah jumlah penduduk yang mendapat manfaat inisiatif negeri?

Berdasarkan data, lebih 1,000 keluarga terjejas ketika Covid-19. Seperti wakil rakyat lain, kami salur bantuan makanan, barangan keperluan seperti lampin, susu dan juga bantuan perubatan seperti kerusi roda dan tongkat. Golongan menengah (M40) yang menjadi B40 juga ramai ketika pandemik dan mereka antara 1,000 keluarga yang menerima bantuan. Sepanjang pandemik kita sentiasa berhubung dengan golongan ini untuk mengetahui keadaan semasa mereka. Saya lega kerana pada tahun ini jumlah mereka berkurangan. Yang mana masih memerlukan kami teruskan beri bantuan kepada mereka secara berkala. Setakat ini, hampir separuh daripada mereka berjaya keluar daripada masalah ini.

ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei (kiri) dan Ahli Majlis Zon 19 MBPJ Nalina Nair (kanan) mengagihkan perkakasan sekolah kepada 50 pelajar yang tinggal di Pangsapuri Sri Aman, Petaling Jaya pada 14 Februari 2022. Foto Facebook Lim Yi Wei

Apakah cabaran dan rintangan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat dan bagaimana mengatasinya?

Daripada segi gerak kerja, cabaran yang dihadapi adalah mendidik penduduk mengenai fungsi sebenar seorang YB dan beri pendedahan kepada mereka yang kita juga mempunyai ahli majlis. Ini kerana ada belum mengetahui ada beberapa perkara perlu dirujuk kepada pihak tertentu. Penduduk sudah biasa dengan cara lama dengan beranggapan YB boleh menyelesaikan semua masalah. Ia kadang-kadang sukar untuk menyatakan kepada mereka bahawa ini bukan bidang kuasa saya dan mungkin ada yang boleh terima dan mungkin juga tidak.

Saya akui gentar juga bila menjadi wakil rakyat, kita perlu melantik beberapa orang untuk bekerja bersama dan perlu percaya mereka boleh bekerja dalam membantu rakyat. Ketika mula menjadi wakil rakyat, ada penduduk yang membezakan saya dengan YB sebelum ini kerana tidak bersarapan di kedai kopi bersama mereka. Sebenarnya, saya jenis tidak bersarapan. Namun selepas mereka melihat cara saya bekerja, mereka mula selesa dan memahami pendekatan saya. Saya berterima kasih kepada mantan YB Lau Weng San yang berada di sini selama dua penggal kerana menyelesaikan beberapa isu besar dan sekarang isu yang ada berkaitan penyelengaraan.

Apakah perancangan jangka panjang untuk meningkatkan kemajuan kawasan DUN?

Kami merancang menjadikan Kampung Tunku kawasan yang berdaya tahan dari aspek prasarana. Saya selalu tekankan naik taraf. Kami juga bernasib baik kerana kawasan ini tidak dilanda banjir tetapi langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini. Kami juga sedang melihat bagaimana untuk mengurus populasi yang kian menua dan ini akan berbalik kepada infrastruktur yang memberi keselesaan kepada warga emas apabila menggunakannya nanti.

Dengan segala usaha yang dilakukan dalam memenangi hati rakyat, adakah YB optimis akan terpilih sekali lagi?

Terpilih atau tidak ia bergantung kepada parti. Setakat ini sokongan terhadap kami masih stabil dan saya sangat berterima kasih. Pernah ada satu masa wujud sentimen rakyat terhadap DAP, Pakatan Harapan tidak begitu baik dan waktu itu kami perlu edar kit ujian Covid-19, saya akui takut untuk keluar kerana khuatir akan dimaki. Namun, ia menjadi sebaliknya mereka masih menyatakan sokongan terhadap kami.

Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Kampung Tunku melaksanakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kemahiran golongan wanita di Lolla Paluza, Sea Park, Petaling Jaya pada 26 Jun 2022. Foto Facebook Lim Yi Wei

Pada pilihan raya lalu, lebih 48,000 pengundi berdaftar di DUN Kampung Tunku. Jadi dengan Undi 18 ditambah golongan pertama kali mengundi, berapa peratus pertambahan pengundi baharu?

Setakat Mac lalu, pertambahan sekitar 21 peratus, iaitu dari 48,601 orang kepada 58,791 orang. Berdasarkan pecahan untuk golongan belia 30 tahun ke bawah, kita mempunyai 7,456 pengundi. Untuk 40 tahun ke bawah pula sekitar 15,359 orang. Walaupun ada Undi 18 dan pendaftaran undi automatik, nampaknya golongan 40 tahun ke atas lebih ramai berbanding golongan muda. Pecahan mengikut kaum tiada perubahan yang banyak dengan peratusan Cina sebanyak 60 peratus, Melayu lebih 20 peratus dan India lebih 10 peratus.

Apakah usaha yang digerakkan pada peringkat akar umbi bagi menarik sokongan pengundi baharu?

Daripada segi parti, kami ada sayap pemuda dan mereka diminta merangka strategi untuk menarik pengundi muda. Saya rasa kita kekurangan melakukan forum kerana ia tempat untuk menarik golongan yang minat politik. Saya nampak sepanjang pandemik banyak gerakan anak muda yang tumbuh bagi membangkitkan isu berkaitan tatacara operasi piawai (SOP) yang tidak masuk akal, apa yang saya minta pasukan saya lakukan ialah kaji minat mereka untuk memudahkan kita mendekati mereka. Jika mereka minat mendaki, kita buat program bersama mereka, boleh buat kawan.


Pengarang :