Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Sharipah Marhaini Syed Ali (lima dari kiri) ketika melancarkan Skim Rebat Cukai Taksiran Rumah Mesra Alam Hijau Petaling Jaya Tahun 2022 dan aplikasi MBPJ eRebat hari ini. Foto MBPJ
ADNBERITA UTAMASELANGOR

ADN: Contohi MBPJ beri rebat cukai kepada penduduk amal inisiatif hijau

SHAH ALAM, 2 OGOS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mencontohi inisiatif Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melaksana Skim Rebat Cukai Taksiran Rumah Mesra Alam.

Wakil rakyat Kota Damansara berkata skim itu dapat mendidik masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup hijau demi kelestarian alam.

Menurut Shatiri Mansor inisiatif berkenaan antaranya penggunaan tenaga solar, penjimatan air, pengurusan sampah 3R (melupus, guna semula dan kitar semula) dan mengguna pengangkutan awam selain menanam pokok sekitar rumah.

“Tahniah kepada MBPJ kerana menjadi satu-satunya PBT di Malaysia melaksanakan skim ini.

“Saya harap skim ini menjadi ikutan PBT lain,” katanya pada perbahasan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.

Setakat 3 Jun, seramai 1,978 penduduk Petaling Jaya yang mengamalkan inisiatif hijau menerima rebat cukai taksiran RM652,068.17 daripada MBPJ.

Pada masa sama, Shatiri berharap Kerajaan Negeri dapat melebarkan Inisiatif Bangunan Hijau di seluruh 8,000 perumahan strata di Selangor.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar membentangkan RS-1 yang menjadi kerangka pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun melibatkan nilai keseluruhan RM212.44 bilion.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan peringkat negeri termasuk pelaksanaan beberapa insiatif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri akan mengeluarkan dana RM7.16 bilion manakala baki melebihi RM80 bilion dibiayai anak syarikat serta pihak swasta.


Pengarang :