Petugas Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) menunjukkan pelbagai jenis ikan segar beku yang dijual di reruai NEKMAT sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada 9 Ogos 2022. Foto BERNAMA.
AGENDANASIONAL

Agrobank tawar pembiayaan hingga RM500,000 bantu belia ceburi agromakanan

SERDANG, 11 OGOS: Sektor agromakanan menyediakan peluang dan prospek perniagaan yang luas bagi golongan muda melibatkan diri dalam sektor penting negara itu, kata Ketua Pegawai Pembangunan Bank Pertanian Malaysia Bhd (Agrobank) Aminuddin Amenon.

Beliau berkata memandangkan permintaan untuk produk agromakanan adalah tinggi, penglibatan golongan itu dalam sektor tersebut adalah penting dan mereka boleh memanfaatkan peluang perniagaan yang ada.

“Contohnya dalam subsektor penternakan ayam yang kini menjadi keperluan dan merupakan sumber protein kebanyakan isi rumah di Malaysia, tenaga kerja yang banyak terutamanya daripada anak muda sangat diperlukan.

“Dengan penglibatan mereka (golongan muda), ia juga boleh membantu dalam usaha mempertingkatkan sekuriti makanan dan menstabilkan harga bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kita kepada makanan import,” katanya.

Aminuddin berkata demikian semasa ditemui di tapak pameran Kluster Agro Youth sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang berlangsung di MAEPS Serdang sejak 4 Ogos lepas.

Aminuddin berkata kekurangan pengalaman dan modal perniagaan di samping ketidaktentuan pendapatan serta masa diperlukan untuk menuai hasil yang panjang merupakan antara cabaran bagi golongan muda menceburi bidang tersebut.

Menyedari cabaran tersebut, Agrobank menyediakan pembiayaan melalui Agro-Youth Entrepreneur Scheme (AGRO-YES) 2.0. dalam usaha membantu menjadikan industri agromakanan sebagai bidang kerjaya masa hadapan buat usahawan muda.

“Agrobank melalui skim ini memperuntukkan sejumlah RM50 juta untuk menyediakan pembiayaan bernilai RM50,000 sehingga RM500,000 dengan tempoh pembiayaan maksimum sehingga 8.5 tahun buat mereka yang berminat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga menyediakan khidmat nasihat perniagaan melalui Agropreneur Centre of Excellence bagi membantu usahawan mendapatkan bimbingan kewangan dan pengurusan dalam menjayakan perniagaan mereka.

Orang ramai boleh mengunjungi tapak pameran Kluster Agro Youth di Dewan C, MAEPS Serdang sepanjang MAHA 2022 bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kemudahan tersebut.

Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan antaranya permainan video realiti maya, jualan produk agromakanan oleh usahawan muda dan sesi perkongsian ilmu secara langsung. – BERNAMA

 


Pengarang :