BUDAYARENCANA

Bandar LCD

Oleh Aliaa Alina

Gusinya bengkak berdenyut-denyut terasa sampai ke telinga. Suzy segera menelan sebiji pil tahan sakit untuk mengurangkan kesakitan yang dialami sejak seminggu lalu. Doktor muda yang merawatnya memberitahu gusinya membengkak kerana infeksi kuman di akar gigi.

Rasa ngilu di gigi masih bersisa membuatkan dia menelan sebiji lagi pil tahan sakit. Kemudian, sebiji lagi pil ditelan sehingga habis sepapan. Pembantu klinik sudah memberi amaran bahawa maksimum tiga biji pil sahaja boleh diambil dalam masa sehari.

Suzy tidak peduli. Sakit giginya harus segera sembuh kerana kerjaya sebagai Mukbanger menuntutnya untuk menghidangkan video mukbang kepada pengikut di YouTube. Jika sakitnya tidak berkurang, bagaimana dia hendak ber-mukbang tiga mangkuk bubur sumsum, setalam kuih seri muka dan satu jag teh tarik di hadapan kamera?

Ubat itu mulai berhasil mengurangkan kesakitan serta membuatkan dia berasa khayal. Korus lagu dendangan Coldplay ft BTS, you are my universe’ bermain di kepala, diselang-seli wajah hiba Wanda yang mencari anaknya yang wujud di dimensi lain.

“Saya mencintai awak di setiap alam semesta,” ucap Dr. Strange sayu. Dialog dan imej pelakon saling bersilih ganti. Kepalanya seperti wayang rosak yang memainkan serpihan filem yang pernah ditontonnya sebelum ini.

Ada sebuah tempat yang dipanggil Wonderland. Ada biskut yang membuatkan anda membesar jika dimakan dan ada posyen yang membuatkan anda mengecil jika diminum.

‘Apa persamaan antara meja tulis dan burung raven?’ tanya Mad Hatter kepada Si Alice.

Wajah Si Alice terkebil-kebil memikirkan teka-teki itu. ‘Tidak tahu, tidak tahu, apa jawapannya?” desaknya namun sekadar disambut hilai ketawa Mad Hatter dan March Hare.

Suzy mamai menjawab, kedua-keduanya dimiliki oleh Edgar Allan Poe.

***

Apabila Suzy membuka mata, tubuhnya terbaring di atas laluan pejalan kaki yang bercorak seperti biskutmarie. Disentuh lantainya yang rapuh, hidungnya terhidu bau harum biskut coklat.

Dia terkedu melihat struktur bangunan-bangunan yang wujud di sekitarnya. Sebuah masjid terbina daripada biskut halia yang beraising putih di bumbung dan tiang kedai gunting rambut adalah sebatang kandi perisa pudina yang berpusaran merah putih. Adakah dia terperangkap di dalam glob perhiasan atau bandar ini dibina oleh seorang perempuan sihir pemakan daging manusia?

Semua ini adalah mimpi.

“Tengoklah kelakuan orang miskin itu, makan seperti binatang,” cemuh seorang budak lelaki yang berdiri di tepinya. Dilihatnya beberapa orang dewasa berpakaian kumal rakus memamah dinding bangunan yang diperbuat daripada kek lobak .

Budak lelaki yang berambut ikal keemasan itu menjinjit bakul rotan yang berisikan dua buah buku tebal. Ikan di Lautan Dalam jilid V dan Sayur-sayuran yang Beracun edisi kemaskini.

“Sesiapapun pasti memakan bangunan seenak itu,” ujar Suzy lantas mematahkan sedikit kepingan papan arah bulat berwarna merah kecoklatan yang dipacak di rumput. Rasanya masam-masam manis seperti kandi Haw Flakes.

Budak lelaki itu merenung lama, seperti Suzy itu makhluk yang berasal dari Bintang Kejora.

“Kita tak makan makanan bergula, itu makanan orang miskin.”

“Kenapa pula?”

“Semua orang tahu gula adalah punca kepada segala penyakit. Penyakit gigi berlubang, obesiti, kencing manis, katarak, sakit buah pinggang,” balasnya membuatkan Suzy teringat perihal giginya yang sakit. Dia lega kerana bengkak gusinya sudah surut.

“Kalau itu makanan orang miskin, jadi apa makanan orang kaya?”

“Sayur segar dan ikan mentah,” jawabnya malas lantas meninggalkan Suzy bersendirian. Tindakan Suzy mengekorinya membuatkan budak lelaki itu menyumpah sialnya kerana bertembung dengan manusia pelik.

“Saya berada di mana sekarang ini?”

“Di Bandar Lang Sari Dua.”

“Bandar ni terletak di mana? Di Selangor, Kuala Lumpur atau Johor?” soalnya kehairanan kerana merasakan nama itu seperti sebuah chalet.

Budak lelaki itu menggerenyet kejengkelan lantas mempercepat langkahnya. Dia hanya berhenti apabila mendengar jeritan keriangan di belakang. Kelihatan tubuh Suzy merangkak dan tangannya ligat mengutip ketulan emas yang bertaburan di tepi jalan.

“Apa yang awak buat ni?” tegur budak lelaki itu kerana malu melihat kelakuan yang dirasakan tidak senonoh.

“Inikan emas! Bayangkan betapa kayanya saya jika dijual di kedai emas.”

“Tiada kedai emas di sini kerana nilainya seumpama batu kerikil,” katanya sinis, terus mematikan senyuman Suzy.

“Kalau emas hanya setaraf batu, jadi benda apa yang bernilai di bandar ini?”

“Buku,” jawabnya lantas menunjukkan dua buah buku yang dibawanya sedari tadi. Diceritakan kisah pencerobohan musuh yang bertindak membakar dan memusnahkan gudang-gudang buku. Tindakan barbarik itu membuatkan buku sukar untuk didapati dan begitu berharga sehingga dijadikan mata wang untuk setiap urusan jual beli.

“Lambakan emas berlaku selepas Permaisuri Midah menukarkan tanah, sayur-sayuran dan pokok buah-buahan menjadi emas.” Wajahnya kelihatan marah kerana mengenangkan kebodohan yang membuatkan separuh populasi rakyat mati kebuluran termasuklah permaisuri malang itu.

“Bukan Permaisuri Midah, tapi Raja Midas,” ujar Suzy memperbetulkan ceritanya.

“Apa yang awak merepek ni, siapa Midas?” balasnya geram lantas kembali berjalan menuju ke destinasinya, sebuah pasar.

“Kalau buku adalah wang, maka perpustakaan adalah bank?” soal Suzy yang semakin teruja, dirasakan dirinya seperti Si Alice yang termasuk ke dalam dunia lain yang aneh.

“Akhirnya mulut awak mengeluarkan kata-kata yang masuk akal.” Nada suaranya mulai mengendur lembut dan kedengaran lebih mesra.

“Buku-buku ini boleh membeli tiga kilo ikan dan beraneka jenis sayuran.” Jelasnya, penjual ikan yang membaca buku akan tahu jenis ikan yang sesuai untuk ditangkap di lautan. Penjual sayur pula menjadi lebih arif untuk menanam sayuran yang selamat dan enak untuk dimakan.

“Awak tengok sana,” katanya menuding jari kepada seorang pemilik toko buku yang duduk membaca di tepi jalan. “Dialah manusia yang paling kaya di bandar ini.”

Suzy tergelak kuat. Alangkah lucu kerana di dunianya, buku sering dilonggok seperti ikan di pasar atau dihumban ke dalam tong sampah seumpama sayuran busuk.

Dalam ketawa, mulutnya tiba-tiba terkancing, langsung mengeluarkan busa-busa air liur yang meleleh. Ototnya kekejangan, membuatkan dia jatuh terlentang dan matanya menjuling ke atas. Pandangan Suzy mulai kabur dan dirasakan budak lelaki itu menunduk sambil menyuluhkan lampu di matanya.

***

Overdose ubat ni,” ujar MA sewaktu memeriksa tubuh Suzy yang masih tersentak-tersentak dengan mata separuh terbuka. Keadaan bilik itu bersepah dengan kotak kuih talam dan papan-papan pil ubat yang kosong.

Rakaman mukbang yang bersiaran secara langsung masih berjalan. Ratusan mata yang menonton turut bersimpati dengan musibah yang menimpa Suzy, seorang mukbanger yang dikenali sebagai Yuka Kinoshita Malaya. Simbol bateri di skrin telefon sudah berwarna merah menunjukkan hayatnya yang semakin hampir menemui penamat.


Pengarang :