Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap dalam majlis perasmian pertandingan kabaddi Piala Muhibbah Klang di Dewan Sukan Andalas, Taman Sri Andalas, Klang pada 14 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanja RM6 juta naik taraf kemudahan, tingkat kualiti pembelajaran SJK Tamil

KLANG, 14 OGOS: Sejumlah RM6 juta diperuntuk kepada sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) bagi membaik pulih kemudahan serta meningkatkan kualiti pendidikan kaum India.

Dato’ Menteri Besar berkata setakat ini hampir keseluruhan 96 SJKT mendapat manfaat tersebut, malah ada sekolah yang menerima sumbangan mencecah RM200,000.

“Proses menyalurkan bantuan sedang dilaksanakan. Tahun ini kita dapat selesaikan permohonan sekitar Mei dan Jun, namun masih ada sekolah belum dapat.

“Sekarang kita sedang urus permohonan sekolah yang tertinggal kerana masalah teknikal. Jadi pada September saluran fasa dua akan berjalan. Kita mahu beri keselesaan serta tingkat kualiti pembelajaran di sekolah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pertandingan kabaddi Piala Muhibah Klang di Kompleks Sukan Andalas di sini, hari ini.

Pada Mei, Amirudin memaklumkan peruntukan sejumlah RM26.5 juta untuk menambah baik infrastruktur sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

Sumbangan dikhususkan buat sekolah yang tidak menerima bantuan penuh daripada kerajaan persekutuan.


Pengarang :