EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud bercakap kepada Media Selangor dalam wawancara khas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 22 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO saran individu murung hubungi SEHAT, masyarakat digesa lebih cakna

SHAH ALAM, 6 OGOS: Masyarakat digesa untuk lebih cakna terhadap keadaan pasangan, ahli keluarga dan jiran tetangga agar kejadian bunuh diri dapat dicegah.

EXCO kesihatan berkata Kerajaan Negeri memandang serius isu berkenaan dan menyeru individu yang kemurungan mengadu kepada kaunselor profesional menerusi Talian Selangor Mental Sihat (SEHAT).

“Inisiatif ini bertujuan membantu mereka yang mengalami gangguan kesihatan mental mendapat nasihat daripada pakar psikiatri dan kaunselor serta melakukan diagnosis dan intervensi awal di klinik kerajaan atau swasta bagi mencegah keadaan lebih buruk.

“Rakyat tidak perlu gusar tentang kos kerana semua ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri,” tulis Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook pada 4 Ogos.

Dalam hantaran sama, Dr Mariah turut bersedih dengan inisiden bapa mencampak tiga anak sebelum membunuh diri di Kepong pada 3 Ogos dan insiden seorang ibu yang juga jururawat dituduh membunuh bayinya berusia lapan bulan pada minggu lalu.

“Dua insiden ini malah banyak lagi yang dilaporkan sebelum-sebelum ini menuntut kita sebagai masyarakat mengambil peduli keadaan mereka di sekitar kita khususnya pasangan, ahli keluaraga, saudara mara malah jiran tetangga,” katanya.

Orang awam yang ingin meluahkan masalah mereka boleh menghubungi talian SEHAT yang beroperasi 24 jam menerusi 1700-82-7536 atau 1700-82-7537.

Talian SEHAT diwujudkan awal Jun lalu yang dikendalikan oleh kaunselor berpengalaman untuk mendengar dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

SEHAT boleh diakses menerusi butang khas di skrin utama dalam aplikasi SELangkah. Antara fungsi boleh diteroka pengguna ialah saringan kesihatan mental, saringan risiko, video psikopendidikan, portal WhatsDoc dan skala literasi kesihatan mental.

Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.


Pengarang :